» » Harga barangan di Malaysia akan melonjak tinggi kerana GST dan nilai Ringgit yang lemah


Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), kumpulan pengguna terbesar Malaysia memberi amaran semua harga barangan daripada makanan hingga lampin bayi akan naik sejurus cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dikenakan.

Ini kerana kejatuhan ringgit paling rendah sejak 9 tahun lalu menyebabkan kenaikan kos import bahan mentah dan barangan siap sehingga mendorong kenaikan harga di kedai pada minggu berikutnya.

Menurut pakar, kejatuhan ringgit merupakan satu lagi elemen yang mencengkam ekonomi ketika negara menghadapi tekanan kejatuhan harga minyak, hutang tinggi dan inflasi.

Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan kejatuhan ini bersifat sementara dan negara mempunyai asas kukuh untuk menangani impaknya.

Namun beberapa pakar ekonomi mempertikaikan kelemahan mata wang mencerminkan tahap ekonomi itu sendiri.

"Nilai mata wang sesebuah negara seperti termometer yang mengukur tahap kesihatan ekonomi," kata bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Ramon Navaratnam sambil menambah bacaan ekonomi sekarang tidak berapa baik.

Jika ekonomi "sakit" bermakna semua golongan akan menghadapi tempoh yang sukar.

Fundamental

Pada 9 Jun, ringgit jatuh RM3.77 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), nilai hampir sama dengan RM3.80 semasa krisis kemelesetan ekonomi Malaysia pada 1997.

Dalam satu kenyataan kepada Bloomberg pada hari sama, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar berkata mata wang tidak diniagakan pada tahap yang mencerminkan dasar ekonomi Malaysia.

Fundamental merupakan tiang asas ekonomi Malaysia. Laman web Investopedia menjelaskan ia meliputi kadar pekerjaan dan inflasi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penggunaan peribadi dan lain-lain yang boleh mempengaruhi nilai mata wang.

Pakar ekonomi bebas Azrul Azwar Ahmad Tajuddin senada dengan sentimen BNM dan berkata ringgit secara kasarnya di bawah nilai itu hanya sementara, satu fenomena berpusing berbanding dengan masalah struktur yang mencerminkan fundamental lemah.

Ekonomi negara kini lebih kuat berbanding 1997-1998 ketika dibelenggu dengan rizab asing yang rendah, kejatuhan ekuiti pasaran, pinjaman tidak berbayar dan kadar tertunggak, kata Azrul Azwar.

The StarBiz memetik kenyataan pakar ekonomi sebagai berkata hakikatnya nilai dolar yang meningkat naik berbanding mata wang lain termasuk ringgit dilihat kerana ekonomi AS semakin kukuh.

Persepsi mempengaruhi nilai

Ramon bagaimanapun berkata, hakikatnya ringgit juga jatuh berbanding mata wang lain seperti dolar Singapura yang kini S$1=RM2.80. Berdekad lalu, dolar Singapura dan ringgit hampir sama nilainya.

"Ringgit lemah sejak beberapa tahun lalu berbanding mata wang Taiwan, Hong Kong dan Korea Selatan. Jadi sukar bagi kita menerima kejatuhan ini bersifat sementara, ia satu trend," kata Ramon yang mengetuai Pusat Pengajian Polisi Awam (CPPS).

Masalahnya ialah persepsi dan persepsi negatif terhadap tahap kesihatan ekonomi dan pengurusan Putrajaya boleh menjejaskan sentimen nilai ringgit.

Prof Tan Sri Kamal Sali dari Universiti Malaya berkata kredibiliti kerajaan dalam menguruskan ekonomi amat penting dan mempengaruhi pemain pasaran.

"Hutang yang tinggi contohnya merupakan masalah struktur dan ia memberi kesan kepada persepsi pemain pasaran," kata pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UM itu.

Ramon berkata, apabila tahap keyakinan ekonomi menurun, begitu juga dengan keyakinan terhadap ringgit dan apabila ia mula terjadi, unsur negatif terhadap ekonomi dan ringgit mula mempengaruhi satu sama lain.

Katanya, keyakinan yang rendah dalam ekonomi menjejaskan pelaburan langsung asing dan modal swasta akan mula mengalir keluar dari negara.

Ramon berkata, Putrajaya perlu menangani kejatuhan ini dengan membanteras rasuah, mengamalkan urus tadbir yang baik dan menyelesaikan isu seperti saga 1Malaysia Development Berhad.

Lebih keburukan berbanding kebaikan?

Azrul Azwar berkata nilai ringgit yang rendah mempunyai kebaikan dan keburukan kerana ia mendatangkan manfaat kepada pengeksport terutama dalam sektor pelancongan dan pelaburan.

Namun industri yang perlu mengimport bahan mentah akan merana kesan kenaikan kos dan mendapat pulangan rendah.

"Setakat ini pengeksport Malaysia nampaknya gagal mengambil kesempatan daripada kelemahan ringgit sejak eksport secara kasarnya jatuh ke paras 8.8% pada April 2015.

"Jika trend kejatuhan eksport kekal dalam beberapa bulan akan datang, ketika itu kita mula bimbang," katanya.

Namun kebimbangan utama kini ialah kenaikan harga barang. Fomca berkata, memandangkan Malaysia mengimport banyak makanan segar, harga itu tentunya akan meningkat.

"Harga naik tetapi bukan pendapatan," kata Setiausaha Agung Fomca Datuk Paul Selvaraj.

Ketika peniagaan mula terasa kos meningkat akibat kelemahan ringgit, mereka nampaknya tidak mungkin dapat menaikkan gaji.

Apabila inflasi naik dan penggunaan menurun, persepsi negatif terhadap ekonomi semakin bertambah sehingga mampu menjejaskan nilai mata wang.

"Pelabur melihat semua faktor itu maka kerajaan tidak boleh melihat kejatuhan ini sebagai sementara dan ia perlu ditangani," kata Ramon.

sumber



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .