» » Desak SPR siasat dakwaan Najib Razak salah gunakan dana 1MDB biayai kempen PRU13


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera menyiasat berhubung dakwaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara tidak langsung membiayai kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata PKR hari ini.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, ia akan memberi kebolehpercayaan kepada kebebasan SPR sekiranya ia mengambil tindakan terhadap Najib mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, khususnya Seksyen 10(a), yang meliputi aktiviti rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya dengan niat membeli undi.

"Sekiranya pengerusi SPR memberi pelbagai alasan mewajarkan 'slush fund' berkait 1MDB itu semasa kempen pilihan raya, dan bukannya memberikan laporan yang bebas berdasarkan siasatan yang matang, tidak terpengaruh dan teliti, maka lebih baik kita minta SPR secara rasmi menyertai gabungan BN," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan Wall Street Journal (WSJ) pada 19 Jun mengatakan syarikat sarat hutang itu secara tidak langsung membiayai kempen Najib dengan membeli aset tenaga daripada Genting Group pada 2012 dengan harga 5 kali ganda berbanding nilainya sebenar.

Genting kemudiannya didakwa menderma sebahagian daripada pendapatannya itu kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) yang di bawah kawalan Najib, dan yayasan itu kemudiannya mengumumkan beberapa projek amal yang dibangkitkan pula oleh Najib selepas itu semasa berkempen.

Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun berkata dakwaan WSJ itu tidak berasas.

Nurul Izzah hari ini menuntut Najib mendedahkan transaksi kewangan YR1M, termasuk dan tidak terhad kepada sumber dana, dan di mana dana itu disalurkan, bagi mengelak timbulnya sebarang keraguan.

"Saya juga percaya pendedahan ini memerlukan satu siasatan terhadap Barisan Nasional bagi mengetahui sama ada mereka melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Sekiranya mereka didapati bertanggungjawab, mereka harus dihadapkan ke muka keadilan - dan tanggungjawab itu pasti akhirnya terletak pada pengerusi YR1M iaitu Najib," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga mahu Malaysia segera meneliti pembaharuan pembiayaan pilihan raya, dan keperluan mengadakan undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan oleh parti politik.

Beliau berkata, di United Kingdom, parti perlu merekodkan sumbangan dan pinjaman yang diterima, memastikan wang itu daripada sumber yang dibenarkan dan melaporkan amaun besar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.

Katanya, di Great Britain Suruhanjaya Pilihan Rayanya menerbitkan laporan mengenai derma dan pinjaman yang diterima di pangkalan data atas talian mereka bagi memastikan ketelusan.

Bagaimanapun, Nurul Izzah kesal Malaysia tidak mengambil tindakan sedemikian, walaupun Parlimen pada 2012 meluluskan 22 cadangan Jawatankuasa Pilihan Reformasi Pilihan Raya untuk dilaksanakan SPR.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .