» »Unlabelled » Bekas eksekutif teknologi maklumat PetroSaudi yang ada kaitan dengan skandal 1MDB ditahan polis Thailand


Xavier Andre Justo yang ditahan di Thailand pada Isnin dan dipercayai merupakan bekas eksekutif teknologi maklumat (IT) PetroSaudi International, merupakan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut, menurut semakan The Malaysia Insider.

Justo, warganegara Switzerland, didapati memegang jawatan "Pengarah 2" di syarikat tersebut sejak dilantik pada 28 Jun, 2010.

Semakan di laman sesawang Check Company pula mendedahkan, Justo, 49, terlibat dengan 2 buah syarikat iaitu PetroSaudi Energy and Trading, dan PetroSaudi International (UK) dengan status “aktif” di kedua-dua syarikat tersebut.

Sementara laman pendedah maklumat Sarawak Report melaporkan hari ini, PetroSaudi International secara tidak langsung mengiktiraf data daripada server mereka adalah tulen dengan menuduh bekas pekerja mencuri dan menggelarnya sebagai “petugas IT”, walaupun beliau merupakan seorang pengarah kanan.

Media melaporkan semalam, polis Thailand menahan Justo yang dikatakan membocorkan maklumat berkaitan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

The Malaysian Insider difahamkan Justo ditahan di sebuah pulau di Thailand semalam dan dihantar ke Bangkok hari ini.

Xavier Andre Justo (kiri) selepas penahanannya oleh polis Thailand Isnin lalu. – Gambar Polis Diraja Thailand, 24 Jun, 2015.

"Xavier Justo ditangkap di rumahnya di Thailand oleh Bahagian Pencegahan Jenayah Polis Diraja Thai semalam dan didakwa cuba memeras ugut serta tuduhan melakukan ugutan terhadap PetroSaudi International,” lapor media.

Turut dirampas bersama Justo adalah pemacu cakera keras dan alat penyimpanan data.

Sementara sebuah firma penyiasatan hari ini mendedahkan, dokumen berkenaan urusniaga syarikat 1MDB dan PetroSaudi pada 2009, seperti didedahkan portal Sarawak Report, menjalani proses pengeditan sebelum dimuat naik.

Akhbar New Straits Times (NST) memetik Protection Group International (PGI) sebagai berkata data itu dicuri daripada PetroSaudi dan diedit sebelum dimuat naik ke internet.

"Penyiasatan kami masih berjalan, tetapi jelas kami sedang melihat kes kecurian data yang besar dan analisis kami menyimpulkan Justo adalah sumber data yang dimuat naik Sarawak Report," kata pakar firma itu.

"Contohnya, apabila kita melihat fail PowerPoint di blog Sarawak Report, kami menemui bukti dalam metadata fail ianya diuruskan oleh 'xavierj' pada 2013; dua tahun selepas Justo meninggalkan PetroSaudi, dan empat tahun selepas fail asli direka oleh firma guaman yang menjadi penasihat PetroSaudi," katanya.

"Juga jelas data yang dicuri tidak lengkap, dan melalui proses suntingan selepas dikeluarkan daripada sistem PetroSaudi sebelum dimuat naik ke internet.

"Terdapat banyak kecelaruan antara data yang dimuat naik dan data yang masih ada dalam fail bersama PetroSaudi ketika itu. Ringkasnya, data itu tidak lengkap, dipilih dan diedit untuk mengikut kemahuan naratif."

PGI diupah bagi menjalankan siasatan terhadap sumber data yang dimuat naik di internet dan mengesahkan keasliannya, lapor NST.

Sementara itu, 1MDB dalam reaksinya berkata ia mengambil maklum penahanan Justo dan penemuan mengenai kesahihan dokuman yang dipaparkan Sarawak Report.

"1MDB yakin pihak berkuasa akan menjalankan siasatan rapi dan mendapatkan fakta, serta mengambil tindakan undang-undang," kata syarikat itu sambil menyatakan akan memberikan kerjasama penuh.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .