Salah satu sebab anggota Kabinet bersikap diam diri terhadap kata dua yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika tidak menyokongnya memulihkan syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana merasakan mereka lebih selamat untuk mengunci mulut mereka, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut bekas perdana menteri yang berkhidmat paling lama itu, sesetengah daripada mereka tidak memahaminya, sesetengah berpendapat bukan masalah mereka dan selebihnya merasakan ia lebih selamat untuk tidak berkata apa-apa.
"Apa yang ketara ialah seluruh Kabinet kelihatan seperti tidak mampu untuk menangani masalah 1MDB ini. Sesetengah mereka tidak faham apa yang terjadi, sesetengah mereka merasakan itu bukan masalah mereka dan ada yang berpendapat lebih selamat jika tidak berkata apa-apa mengenainya.
"Jadi setiap daripada mereka mempunyai pandangan mereka masing-masing. Saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan. Saya tidak mempunyai akses pada fikiran mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penasihat India Malaysia (IACM) di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Dr Mahathir, sewaktu pentadbirannya dahulu, sekiranya menteri-menteri tidak bersependapat dengan polisinya, beliau akan memecat dan menggantikan jawatan menteri berkenaan.
"Saya tak tahu. Tetapi sewaktu pentadbiran saya, sekiranya menteri-menteri tidak bersetuju dengan polisi saya, saya akan memecat mereka dan menggantikan mereka. Dan jika mereka bersetuju dengan polisi saya akan melantik mereka semula.
Apabila ditanya menteri manakah yang sepatutnya meletakkan jawatan, beliau berkata, keputusan tersebut bukan terletak di tangannya tetapi di tangan Najib.
Jumaat lalu, Najib memberi kata dua kepada mana-mana anggota Kabinet yang tidak menyokongnya dalam usaha memulihkan 1MDB untuk meletak jawatan, lapor Utusan Malaysia.
Memetik sumber, akhbar milik Umno itu melaporkan, Najib membuat kenyataan itu sejurus selepas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada anggota Kabinet pada mesyuarat Jumaat lalu.
Bagaimanapun, difahamkan tiada seorang pun anggota Kabinet berani tampil menyatakan pendirian mereka untuk tidak bersama Najib walaupun diberi peluang berbuat demikian.
Dr Mahathir turut berkata beliau tidak akan menghadiri forum "Nothing to hide" anjuran sebuah badan bukan kerajaan (NGO) SukaGuam yang memberi peluang kepada Najib menjawab soalan daripada NGO lain dan kumpulan masyarakat sivil, termasuk mengenai 1MDB pada Jumaat ini.
"Saya tidak dijemput (ke forum tersebut)," katanya.
Pengerusi SukaGuam Khairul Anwar Rahmat pada sidang akhbar semalam dilaporkan berkata, Najib mengesahkan kehadirannya pada sesi forum selama dua jam bertajuk "Nothing to hide," berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi Jumaat ini.
Dilaporkan, Dr Mahathir juga dijemput hadir tetapi tidak dapat dipastikan sama ada beliau akan hadir atau tidak.
No comments: