Meskipun teruk dikritik dan dipersenda berhubung kenyataannya mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Datuk Ahmad Maslan tetap menunjukkan kesungguhannya membantu kerajaan menerangkan pelaksanaan cukai tersebut.
Terbaru menerusi akaun Twitter @ahmadmaslan pagi ini, timbalan menteri kewangan itu berkongsi dengan rakyat Malaysia cara memasak tanpa melibatkan kos tambahan akibat GST.
Beliau yang berkongsi resepi di laman sosial tersebut, bersama dua keping gambar masakannya, mengakui hidangan nasi gorengnya itu dimasaknya sendiri.
"Resepi saya & digoreng sendiri: Sayur, telur, cili, nasi, garam, daging, bawang, ayam, minyak & gas masak. Tiada GST!" katanya menerusi tweetnya.
Sebelum ini, pada satu program taklimat GST di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Ahmad dikecam hebat gara-gara saranannya kepada pelajar universiti supaya memasak sendiri sebagai cara mengelak dari dibebani cukai tersebut.
Tweet yang dimuatnaik Ahmad hari ini setakat petang ini menerima 1,279 retweet (tweet ulangan) dan 231 favourite (suka) serta berbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk yang menyindir beliau.
Seorang pengguna di Twitter @Azlanphotojournalis mempersoalkan entri status Ahmad itu dengan menyatakan: "Dia dapat barang-barang tu dekat celah mana? Buka kabinet dapur terus wujud kot?"
Seorang lagi pengguna Twitter @zaa@sidang_GIB berkata: "Daripada panggil Tunku Aziz masuk Buletin TV3, baik buat rancangan chef memasak tanpa GST."
Manakala @HakimNasarudin berkata: "Masak tidak dikena GST, beli barang-barang tu yang kena GST. Pagi-pagi saya dihidangkan dengan kepandaian YB, terima kasih YB."
Seorang pengguna di akaun @_pedoq menulis: "Mohon ketuk ketuk Ramadan jemput tuan untuk berkongsi resipi."





No comments: