Kemelut yang melanda syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ialah lambang segala kekalutan dan kecurangan pengurusan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Hadi berkata, Putrajaya juga tidak wajar memangsakan simpanan rakyat dalam tabungan agensi seperti Lembaga Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
“Bermula sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) yang berhajat untuk mencagarkan wang royalti Terengganu dan kemudian bertukar menjadi 1MDB, selepas 6 tahun penubuhan dan operasinya, apa yang dapat ditunjukkan hanyalah timbunan hutang ke paras RM42 bilion. Manakala aset RM50 bilion, gagal menjana aliran tunai positif.
“Cubaan untuk menggunakan dana TH mencetuskan amarah umat Islam khasnya dan rakyat seluruhnya kepada pihak kerajaan BN.
“Skandal demi skandal berulangan walaupun pimpinan negara bertukar; setengahnya sudah ditelan sejarah seperti isu BMF, Perwaja, Maika Holdings, PKFZ dan berbagai lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar PAS kali ke-61 di Kuala Selangor pagi ini.
Hadi berkata PAS menekankan sebuah kerajaan yang diberikan mandat, mesti bertanggungjawab menunaikan amanah dan harapan rakyat.
Katanya, dasar dan program dibuat birokrat terdahulu hebat dan kompeten, kerana mereka terdiri daripada pemikir anak watan yang terpelajar dan terlatih.
“Hari ini mereka sedikit diketepikan kerana kecenderungan kerajaan untuk memberikan kepada ‘konsultan atau perunding luar’ yang dibayar secara mewah sekali gus meminggirkan pakar tempatan dalam persiapan pelbagai kajian sosial, pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi.
“Maka seandainya kepimpinan negara tidak komited untuk benar-benar menghayati tuntutan Allah dan syariat sebenar, khasnya dalam pembangunan ekonomi dan pengurusan kewangan, semua matlamat pembangunan ini akan tersasar,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan hudud di Kelantan, Hadi berkata tidak benar sama sekali pandangan pihak yang tidak memahami sejarah dan dasar perjuangan PAS yang mendakwa mereka bersikap gopoh dalam mengambil langkah ke arah pelaksanaan syariat Allah.
Katanya, PAS sangat beransur dalam tindakan dan sudah bercakap dari 1950-an lagi, hanya menggubal dan diluluskan enakmen pada 1993, iaitu selepas lebih 40 tahun dan generasi pula berubah bertukar ganti.
“Sejak 1990-an, PAS dan kerajaan Kelantan mengadakan pelbagai kempen, seminar, dialog dan perbincangan pakar tanpa melaksanakan enakmen itu sama sekali kerana kita menyedari kekangan yang wujud.
“Kepada mereka yang tidak memahami ini, jangan dibaca sejarah PAS hanya dari 1990 ataupun 1999.
“Setelah lebih 20 tahun berlalu selepas enakmen ini diluluskan menjadikannya lebih 60 tahun langkah diambil PAS. Maka kita lihat ada ruang kecil boleh dilakukan untuk mengangkat taraf mahkamah syariah,” katanya.
Hadi berkata kerajaan Kelantan pimpinan PAS wajib mengusahakan agenda ini kerana desakan umat ingin kembali kepada Islam, kerana Islam menjadi hak setiap penganutnya dan manusia yang mahu melihatnya.
Katanya, pelaksanaan syariat ini, bahkan isu peningkatan taraf hukuman untuk kesalahan syariah pula hak orang Islam yang wajib diperkukuhkan sesuai dengan Islam sebagai agama persekutuan.
“Masyarakat pula dilanda wabak jenayah dan keruntuhan akhlak yang tidak terkawal oleh undang-undang ciptaan manusia. Ketepikan mereka yang degil melawan Allah walaupun tenggelam bersama tanda kemusnahan,” katanya.
sumber
No comments: