Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim enggan mengulas lanjut mengenai bantahan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kolumnya dalam akhbar di mana beliau mengkritik skandal kewangan yang berlaku dalam tempoh 22 tahun bekas perdana menteri itu berkhidmat.
Dalam gaya penulisan sinisnya, Dr Mahathir juga memberitahu Tunku Abdul Aziz menggunakan peranannya sebagai pengerusi lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk memberi tumpuan kepada perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz jika beliau benar-benar mengambil berat tentang rasuah.
"Saya minta maaf tetapi saya tidak mempunyai komen untuk dibuat," kata Tunku Aziz ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Menulis dalam blognya semalam, perdana menteri yang paling lama berkhidmat di Malaysia itu menyahut tulisan kolum Tunku Aziz pada 4 Mei lalu dalam akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times di mana beliau menulis Bank Bumiputera sebagai salah satu skandal kewangan semasa pentadbiran Dr Mahathir dan keadaan kini lebih telus, membolehkan Malaysia membongkar serta menyelesaikan skandal yang melibatkan beban hutang 1MDB.
"Kami akan lakukan, dalam keadaan keterbukaan yang sedia ada, dapatkan lebih cepat kelemahan 1MDB, jika memang ada masalah, maka kami akan lakukan siasatan lebihan kewangan dan lain-lain pada ketika ketiadaan etika semasa Dr Mahathir menjadi perdana menteri," tulis Tunku Aziz.
"Tidak lama selepas Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran kerajaan, skandal kewangan dahsyat melanda Bank Bumiputera Berhad, ditubuhkan pada 1978 sebagai alat untuk memulakan orang Melayu dalam bidang perniagaan.
"Bank itu memindahkan jumlah wang yang besar kepada anak syarikat milik sepenuhnya, Bumiputera Malaysia Finance Limited (BMF), yang dipinjamkan hampir AS$1 bilion kepada sebuah syarikat bernama Plessey Investment dan Carrian Investment Limited. Carrian kemudian muflis dan ‘berbilion hilang entah ke mana’,” tulis Tunku Aziz.
Beliau berkata, jawatankuasa ditubuhkan di Malaysia untuk menyiasat skandal yang disyorkan prosiding jenayah diambil terhadap mereka yang terlibat, tetapi tiada tindakan diambil di Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun, sudah mengarahkan ketua audit negara untuk menyiasat 1MDB, yang dimiliki kerajaan, kata Tunku Aziz.
Meneruskan jawapannya kepada Tunku Aziz, Dr Mahathir berkata anggota SPRM itu perlu meminta maaf jika tiada bukti ditemui terhadapnya.
"Sebagai anggota SPRM, dia boleh membuat siasatan penuh ke atas rekod saya bagi mengetahui berapa bilion yang saya curi daripada kerajaan seperti yang dibayangkannya.
"Jika dia gagal berbuat demikian, dia harus sekurang-kurangnya meminta maaf," tulisnya dalam blognya chedet.cc.
Dr Mahathir juga bertanya sama ada percubaan Tunku Aziz menggunakan ‘asas yang begitu rapuh’ untuk ‘menuduhnya’ terlibat dalam skandal BMF beretika atau tidak.
Dr Mahathir menolak cubaan Tunku Aziz menyamakan 1MDB sekarang dengan skandal Bank Bumiputera pada 1980-an, ketika beliau menjadi perdana menteri.
Hampir AS$1 bilion (RM2.4 bilion pada waktu itu) dipinjamkan Bank Bumiputera kepada 2 syarikat pelaburan melalui anak syarikat milik penuhnya, BMF dan salah satu daripadanya kemudian diisytiharkan muflis.
Dr Mahathir berkata beliau tidak "mencuri" wang dan tidak memegang sebarang jawatan dalam bank tersebut atau pengurusannya serta terlibat dalam proses membuat keputusan.
Beliau juga mempersendakan Tunku Aziz, bertanya sama ada beliau mengalami "kesedaran selektif tentang apa yang berlaku di sekitarnya".
"Sebagai seorang yang mengaku mengambil berat mengenai rasuah, bukankah beliau sepatutnya bertanya bagaimana Jho Low dan Riza Aziz mempunyai ratusan juta dolar?" soal Dr Mahathir, merujuk ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan anak tiri Najib.
"Bukankah beliau sepatutnya berminat dengan penjawat awam yang hidup mewah melebihi tahap pendapatan mereka?" tulisnya.
Dr Mahathir akhir-akhir ini tampil sebagai pengkritik tegar Najib, khususnya berkaitan 1MDB, dana pelaburan strategik negara yang diilhamkan Najib, yang mengumpul hutang berbilion ringgit dalam masa 6 tahun penubuhannya.
sumber
No comments: