» » 'Siasatan PAC terhadap skandal 1MDB terperinci dan jika ada penyelewengan pasti akan dapat dikesan'


Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) belum pernah menjalankan penyiasatan begitu terperinci sebelum ini, seperti dijalankannya terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini menjadi perhatian.

Perhatian kini tertumpu kepada Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed, dan ramai yang tertanya-tanya sama ada pemimpin Umno itu mampu menahan tekanan dari dalam atau luar partinya untuk melaksanakan tugas itu dengan adil.

Sesetengah pemimpin dalam parti Melayu itu seperti mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara secara terbuka terhadap syarikat pelaburan strategik kerajaan itu susulan hutang bernilai RM42 bilion sejak tempoh 6 tahun beroperasi.

Namun, ada antara mereka yang merasakan 1MDB memerlukan lebih banyak masa untuk membuktikan keupayaan mereka dan mendakwa isu itu sengaja dibangkitkan untuk memaksa Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

PAC kini sedang menjalankan prosiding siasatan terhadap syarikat itu dan mengenalpasti sekiranya berlaku kesilapan dalam operasi syarikat.

Anak kepada bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Mohamed Rahmat, Nur Jazlan, 49, dilihat sebagai duri dalam daging dalam partinya sendiri kerana ahli Parlimen tiga penggal itu tidak pernah gagal menyuarakan kebimbangannya yang bercanggah dengan kebanyakan pemimpin lain.

Beliau bercakap secara terbuka mengenai 1MDB dan peranan PAC dalam wawancara khas bersama The Malaysian Insider.

PAC kini menjadi perhatian dengan skandal 1MDB dan sebagai pengerusi PAC, adakah anda berdepan tekanan, termasuk daripada parti sendiri. Sejauh mana kesukaran itu? Adakah tekanan dapat dirasakan?

Saya tidak begitu merasakan tekanan, kerana saya tahu apa yang saya lakukan. Pertama sekali, kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Keduanya, kita perlu memilih, jadi tidak semua orang akan gembira. Bagi rakyat di luar sana, mereka sudah membentuk persepsi tersendiri '1MDB itu negatif' dan 'ada orang yang bersalah', jadi kita tidak boleh memuaskan hati semua orang.

Yang penting kami perlu teruskan dengan siasatan, mengumpul maklumat dan menghasilkan laporan.

Apa akan berlaku selepas PAC selesai menjalankan siasatan terhadap 1MDB?

Kami akan menyediakan laporan dan akan memberikan saranan untuk diambil tindakan kerajaan, jika terdapat keperluan untuk itu. Contohnya, jika juruaudit tidak menjalankan tugas mereka, kami akan mencadangkan kerajaan untuk menggantikan juruaudit atau pihak pengurusan atau lembaga pengarah.

Jika berlaku salah tadbir, kami akan melihat cadangan tindakan oleh agensi terlibat. Jika pecah amanah, polis akan dipanggil, jika rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan itu juga akan dibentangkan di Parlimen.

PAC sudah menjalankan banyak prosiding sejak tahun-tahun sebelum ini dalam isu yang mencetuskan kebimbangan awam. Jika hasilnya positif, adakah berlaku perubahan di peringkat kerajaan? Sila nyatakan contoh.

Ya, saya rasa hari ini Ketua Audit Negara lebih kerap dikemaskini, dan kerajaan yang mengutamakan kedudukan KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan kedudukan AG, mengikuti cadangan PAC, saya berpendapat ada tindakan yang lebih baik pada masa kini berbanding sebelumnya, mungkin disebabkan tuntutan rakyat.

Namun isu sekarang adalah sama ada tindakan yang diambil sekarang mencukupi.

Berdasarkan pengalaman lalu, adakah anda yakin kerajaan akan mengambil tindakan serius untuk menangani masalah 1MDB selepas laporan PAC?

Sememangnya perlu. Isu ini membabitkan sejumlah besar dana awam dan keduanya, sama ada tadbir urus dilaksanakan dengan baik. Tadbir urus korporat syarikat berkaitan kerajaan perlu diperbaiki supaya masalah seperti 1MDB tidak berulang lagi.

Terdapat banyak kritikan di luar sana yang tidak memberikan harapan tinggi terhadap penyiasatan PAC apabila melibatkan 1MDB. Apakah pendapat anda?

Sekurang-kurangnya, kami mempunyai anggota dwipartisan dan sesiapa sahaja mahu bertanya soalan boleh menyampaikan kepada anggota kami.

Sukar untuk kami menyembunyikan sesuatu dalam prosiding kerana anggota Parlimen pembangkang turut bersama. Mereka aktif bertanya soalan, dengan maklumat itu membolehkan mereka menyoal siasat saksi secara langsung, sedangkan di Parlimen, hanya menteri akan menjawab dan jika tidak menjawab mengikut kemahuan mereka itu sahaja, terima sahaja.

Tetapi sekarang, anggota PAC yang juga ahli Parlimen boleh menyoal siasat saksi secara langsung. Dan semua testimoni direkodkan di dalam hansard secara terus dan akan dilampirkan bersama laporan PAC.

Jadi, sukar untuk sesiapa menghadap PAC dan menipu dalam testimoni mereka kerana ia akan ditulis patah demi patah.

Itulah betapa telusnya kami dan cara laporan disediakan.

Anda mengatakan PAC tidak mampu lagi menunggu Ketua Audit selesai menjalankan audit mereka terhadap 1MDB dan sebab itu PAC memulakan inkuiri terhadap syarikat itu. Jika begitu, mengapakah tidak PAC menjalankan siasatan awal sejak isu itu dibangkitkan 2 tahun lalu?

Saya rasa pemangkinnya Sarawak Report, apabila ia mula melaporkan kesemuanya secara terperinci dan sama ada ia fakta atau tidak, kita tidak tahu.

Kemudian, beberapa tekanan meminta PAC segera mengambil tindakan kerana tiada sebarang dilakukan terhadap laporan Sarawak Report. Kerana tiada penafian maklumat dari Sarawak Report, tiada tindakan mahkamah diambil, jadi kita fikir: "Eh, betulkah ini?"

Pada pendapat anda adakah terlalu lewat untuk menyiasat 1MDB memandangkan kebimbangan begitu tinggi terhadap syarikat ini, terutamanya ahli politik dan media sejak 2 tahun lalu?

Tidak, faktanya ada, cuma masanya belum kita jumpa. Jika ada sebarang penyembunyian fakta, kita akan tahu kerana testimoni daripada saksi dan jika mereka berkata benar kami tahu jika mereka cuba sembunyikan sesuatu.

Saya berpendapat ada bukti rantaian audit 1MDB yang membolehkan PAC mengemukakan rumusan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .