Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, penambahbaikan terhadap kebajikan pekerja diharap dapat melonjakkan lagi produktiviti.
Katanya, tiga inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersempena Hari Pekerja semalam, merupakan "hadiah istimewa" kepada golongan pekerja.
"Cuepacs lihat ia bagus dan baik sekali kerana perlindungan kesihatan penting terutama kepada pekerja. Perlu dilihat mereka yang bekerja di bandar dengan pendapatan RM4,000 ke bawah masih ditakrifkan sebagai berpendapatan rendah.
"Maka kami (Cuepacs) juga berharap pihak majikan perlu menerima baik perkara ini demi kebajikan pekerja bagi menjamin kelangsungan produktiviti," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
Azih berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman siling caruman pekerja yang diinsuranskan ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000.
Dalam pada itu, Azih juga menyambut baik pengumuman kemudahan cuti tiga hari buat penjawat awam bagi urusan kematian keluarga terdekat memandangkan perkara itu pernah dibangkitkan kesatuan sebelum ini.
Kemudahan Cuti Tanpa Rekod yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai akan diperluaskan kepada ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa angkat serta anak angkat yang sah di sisi undang-undang.
"Situasi seperti kematian merupakan perkara luar jangkaan, maka apabila ia diperluaskan maka penjawat awam dapat memanfaatkan kemudahan yang diberikan ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh berpendapat langkah kerajaan menambah baik aspek kebajikan golongan pekerja bukan hanya membolehkan golongan itu menarik nafas lega malah membantu melonjakkan produktiviti dan kualiti kerja.
Katanya, kejayaan sesebuah organisasi ditentukan oleh tenaga pekerja yang memikul amanah diberikan majikan.
"Jika kebajikan terjaga dan terbela, maka mereka (pekerja) bukan hanya rasa dihargai malah akan terus meningkatkan momentum sedia ada kepada suatu tahap yang lebih membanggakan," katanya.
Justeru, Wan Mahmood berkata situasi tersebut secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana Menteri semalam turut mengumumkan program saringan kesihatan percuma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun diteruskan, dengan menyediakan perkhidmatan bergerak bagi membolehkan pemeriksaan saringan kesihatan diadakan di premis majikan.
sumber
No comments: