» » PAC akan mula soal pihak yang terbabit dalam skandal 1MDB


Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju sebulat suara menyoal mereka yang terlibat dalam menubuhkan, menguruskan dan mengawal selia 1Malaysia Development Bhd (1MDB), pelaburan strategik milik kerajaan yang mengumpul hutang mencecah RM42 bilion sejak 2009, dan kini disiasat ketua audit negara.

The Malaysian Insider difahamkan, PAC akan mulakan pendengarannya selepas 18 Mei apabila sesi Dewan Rakyat mula bersidang semula.

Ia akan meneruskan pendengaran daripada kali terakhir ia mendengar kes itu pada 2012.

"PAC setuju minggu lepas untuk memanggil mereka yang terlibat dalam 1MDB sementara menunggu laporan ketua audit.

"Mereka akan mulakan dengan pegawai Kementerian Kewangan yang membantu menubuhkan 1MDB, diikuti eksekutif 1MDB, lembaga pengarah syarikat itu dan juruauditnya," seorang sumber memberitahu The Malaysian Insider.

Seorang lagi sumber mengesahkan siasatan yang akan dijalankan itu, sambil menambah, surat akan dikeluarkan kepada mereka yang terlibat, meminta mereka hadir pada pendengaran itu nanti.

"Surat itu akan dikeluarkan pada Selasa. Ada kemungkinan pegawai Bank Negara juga perlu memberi keterangan berhubung tanggungjawab mereka dalam syarikat itu," kata sumber kedua itu.

"Buat masa ini, tiada seorang pun wakil kerajaan di dalam lembaga 1MDB. Ia sesuatu yang membimbangkan," katanya.

Pada Mac, PAC dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan ketua audit negara menyiasat 1MDB berhubung laporan mengenai pembaziran dan ketidakupayaannya membayar hutang walaupun memiliki asas aset bernilai RM51 bilion.

Ketua audit negara tidak menetapkan tempoh masa untuk menjalankan audit tersebut, tetapi berjanji ia akan dibuat secepat mungkin.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ketika itu, ketua audit mesti memberi tumpuan kepada “5 perkara penting”, iaitu sumber dana RM2 bilion 1MDB untuk menyelesaikan pinjaman dengan beberapa bank tempatan, perjanjian PetroSaudi, suntikan Kementerian Kewangan sebanyak RM3 bilion ke dalam dana negara itu, hasil pelaburan 1MDB di Pulau Cayman yang disalurkan kembali ke negara ini dan sebab di sebalik pertukaran firma audit antarabangsa yang meluluskan akaun dana negara itu.

“Ketua audit negara mesti menjawab persoalan ini. Ini semua isu penting yang memerlukan jawapan yang berkaitan dengan urusan 1MDB,” beliau dipetik berkata ketika itu.

1MDB merupakan pelaburan strategik cara Malaysia yang melabur, terutamanya dalam hartanah dan loji janakuasa tenaga di Asia, tetapi kini menghadapi masalah tunai ketika kebimbangan meningkat mengenai aliran tunainya.

Kerajaan memperuntukkan kemudahan kredit tersedia sebanyak RM900 juta untuk 1MDB, dengan laporan mengatakan ia kini digunakan syarikat itu untuk membayar faedah pinjamannya.

1MDB juga berkata ia menyimpan wang di Singapura, tetapi terdapat spekulasi mengenai di mana wang tersebut berada.

Pada 2012, PAC di bawah bekas pengerusi dan menteri Tan Sri Azmi Khalid, menyiasat 1MDB dan mendapati akaunnya berada dalam keadaan "sihat dan seimbang".

Menyifatkan dokumen itu "penting", Azmi berkata: "Kami menyedari penyata kewangannya bagi Mac 2011 tidak sulit dan boleh diperolehi di atas talian. Jadi, berdasarkan dokumen itu, kami dapati ia mempunyai akaun yang sihat dan seimbang."

PAC memulakan siasatannya terhadap 1MDB pada November 2011 dan membuat kesimpulan itu berdasarkan hanya 1 dokumen yang diterima daripada 7 yang diminta.

Enam dokumen lain yang berkaitan pelaburan 1MDB dengan PetroSaudi International Limited, mengundang waspada sesetengah rakyat Malaysia.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .