Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan pertemuan dengan pemimpin bahagian Umno sekali lagi pada 11 Mei 2015 ini - yang kedua dalam tempoh dua bulan.
Secara kebetulan, tarikh pertemuan itiu jatuh pada ulang tahun ke-69 parti itu, yang menjadi tunggak Barisan Nasional (BN) yang memerintah.
Ketua Umno Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata ia adalah merupakan satu pertemuan biasa.
"Ia adalah pertemuan rutin dengan perdana menteri, untuk beliau bercakap dengan kami tentang hal ehwal semasa dan untuk mengikrarkan sokongan kami," kata Sabri ketika dihubungi.
Ketua Umno bahagian Kinabatangan Bung Mokhtar Radin pula berkata, Najib dijangka membincangkan beberapa "topik panas" semasa pertemuan itu yang akan berlangsung di Putrajaya.
"Mesyuarat itu adalah untuk memperjelaskan pelbagai isu, seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan, yang masih menjadi topik hangat.
"Terdapat beribu-ribu produk yang sifar GST tetapi orang masih membayar GST," kata Bung Mokhtar kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, beliau menolak tanggapan bahawa pertemuan itu diadakan untuk pemimpin Umno menunjukkan solidariti bersama dengan presiden parti mereka.
"Saya tidak fikir begitu. Kami, ketua bahagian, telah pun berbuat demikian. Tetapi sokongan kami kepada perdana menteri adalah untuk selama-lamanya. Pertemuan itu adalah mengenai hal ehwal semasa," kata Bung Mokhtar.
Isu-isu lain yang Najib mungkin perlu tangani termasuk prestasi kurang menyerlah Umno dalam pilihan raya kecil Parlimen Rompin semalam di mana parti itu mengekalkan kubu kuatnya dengan majoriti yang merosot.
'Nafi ada peruntukan khas'
Pada 8 Mac, Najib bertemu dengan pemimpin 160 daripada 191 bahagian Umno, di mana beliau telah memberi taklimat kepada mereka mengenai isu berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dalam masa tempoh tersebut, sejumlah besar dokumen yang bocor, membayangkan berlaku dakwaan penyelewengan dalam urusan 1MDB, yang dibebani hutang RM42 bilion.
Najib pada 4 Mac mengarahkan Ketua Audit Negara menjalankan audit ke atas 1MDB, walaupun terma rujukan audit itu masih belum didedahkan kepada umum.
Pertemuan pada 11 Mei dibawa ke perhatian umum oleh bekas pengarang kumpulan NSTP Datuk A Kadir Jasin, yang mendakwa dalam satu artikel dalam blognya bahawa ia bertujuan untuk menunjukkan soladiriti Umno bersama Najib.
Kadir (kiri) juga mendakwa kira-kira 60 pemimpin bahagian Umno, yang bukan ahli Parlimen, akan diberi peruntukan khas sebanyak RM500,000 semasa pertemuan tersebut.
Dakwaan ini telah disangkal oleh Sabri dan Bung Mokhtar.
Lagi pula, kata Sabri, kesemua ketua bahagian dijadual menghadiri pertemuan itu, bukan hanya 60 ketua bahagian.
'Tergesa-gesa buat kesimpulan'
Bung Mokhtar, dalam merujuk kepada Kadir, berkata orang luar tidak seharusnya tergesa-gesa membuat kesimpulan mengenai motif di sebalik pertemuan pemimpin Umno dengan Najib.
Dakwaan Kadir mengenai pembiayaan khas itu adalah berdasarkan hakikat bahawa Menteri Kesihatan Datuk Dr S Subramaniam mengaku mengenai pemotongan bajet kementeriannya.
Kemungkinan Kementerian Kesihatan bukan satu-satunya kementerian mengalami pemotongan bajet, kata Kadir, yang memetik seorang pegawai kanan kerajaan tanpa disebut namanya, yang mendakwa RM2 bilion peruntukan kementeriannya telah dipotong untuk membiayai usaha bantuan selepas banjir.
Kadir rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan diketahui mempunyai rangkaian yang luas terhadap desas-desus dalam Umno.
Bagaimanapun, ramai pemimpin bahagian Umno yang dihubungi mendakwa mereka tidak tahu mengenai pertemuan dengan Najib akan diadakan pada 11 Mei.
Ketika berita ini ditullis, Pejabat Perdana Menteri belum memberi maklum balas terhadap permintaan Malaysiakini untuk mendapatkan komen terhadap artikel Kadir itu.
No comments: