Dua aktivis mahasiswa yang pernah dikenakan tindakan disiplin oleh universiti mempersoalkan keputusan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu memberi peluang kedua kepada seorang pelajar tajaannya di United Kingdom, yang dipenjarakan kerana memiliki imej pornografi kanak-kanak.
Mereka berkata ia seolah-olah kesalahan jenayah seksual dianggap lebih ringan daripada mengkritik kerajaan, di mana pelajar berdepan tindakan digantung pengajian atau dibuang.
Adam Adli Abdul Halim,yang pernah dibuang universiti kerana menurunkan bendera pemimpin Umno di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2011 berkata, keputusan Mara itu tidak adil kerana peluang sama tidak diberikan kepada mahasiswa yang memperjuangkan hak mereka dan lantang bersuara mempertahankan demokrasi.
"Mengapa perlu ada layanan pilih kasih? Agak pelik bila dalam kes ini, Mara boleh memberi peluang kedua, namun tidak kepada mahasiswa yang kesalahan mereka tidak boleh dianggap sebagai jenayah pun.
"Ia seolah-olah berkata, tidak apa kalau ada kesalahan termasuk jenayah seksual memiliki bahan lucah kanak-kanak, tapi lain pula bila mengkritik kerajaan," kata bekas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu kepada The Malaysian Insider.
Semalam, Jurucakap Mara Nazir Hussin Akhtar berkata Mara mungkin tidak akan menarik balik biasiswa Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, pelajar jurusan matematik yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown di London atas kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah membabitkan kanak-kanak.
Fitri mengaku bersalah terhadap 17 tuduhan memiliki, membuat dan mengedar gambar lucah kanak-kanak, yang disifatkan polis UK sebagai antara yang paling melampau pernah dilihat mereka.
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Khairol Najib Hashim, menyambut baik tindakan Mara memberi peluang kedua kepada Fitri, tetapi menegaskan layanan sama perlu diberi kepada semua mahasiswa, termasuk mereka yang lantang mengkritik kerajaan.
"Sepatutnya Mara ataupun kerajaan perlu berperanan sedemikian. Mendidik dan beri peluang. Bukan hanya menghukum dan pilih kasih.
"Semua kesalahan perlu diberi peluang bela diri. Tidak kira latar belakang ataupun kaum dan agama," kata Khairol, salah seorang daripada 8 pelajar Universiti Malaya (UM) dikenali sebagai ‘UM8’ yang dihadapkan tindakan tatatertib kerana menganjur pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus UM pada Oktober 2014.
"Sepatunya UM8 diberi hak bela diri sebelum hukuman berlangsung. Ini tidak, hukuman dikenakan serta merta sedangkan kes rayuan masih belum berlangsung," katanya.
Adam berkata sekiranya Mara boleh bersifat terbuka terhadap Fitri, ia juga perlu melakukan perkara sama terhadap pelajar yang ditekan pihak universiti kerana mengkritik kerajaan.
"Pendirian Mara itu membuktikan badan itu tidak ada masalah membuat keputusan terbuka kerana boleh memberi peluang kepada pelajar yang disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual," katanya.
Adam berkata, ia seolah-olah Mara mahu dilihat sebagai progresif.
"Kerana isu ini menjadi perhatian masyarakat antarabangsa, mendapat liputan meluas daripada media, jadi Mara mungkin mahu dilihat sebagai sebuah entiti yang progresif," katanya.
sumber
No comments: