» » 'Ketua UMNO Bahagian mula sedar makin ramai rakyat M'sia tak sokong Najib Razak'


Tan Sri Zainuddin Maidin menjelaskan sudah wujud kesedaran di kalangan ketua Umno bahagian kini yang sokongan mereka kepada presiden parti Datuk Seri Najib Razak bukanlah mewakili sokongan rakyat secara keseluruhannya.

Bekas menteri penerangan itu berkata, antara ketua Umno bahagian yang lantang membuat kritikan terbuka ialah Ketua Umno Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Siapakah yang mengatakan semua ketua bahagian Umno hanya mengangguk dan menerima apa sahaja alasan dan cerita dari pemimpin negara dalam isu yang menimbulkan keraguan dan prasangka buruk menggelorakan perasaan rakyat di seluruh negara?

"Sudah ada pemimpin bahagian Umno yang sedar sokongan 'berbaju merah' kepada pucuk pimpinan tidak dapat lagi mewakili sokongan rakyat.

"Mereka tidak sahaja membacanya di laman media sosial atau portal berita tetapi mendengarnya sendiri di majlis-majlis kenduri perkahwinan, di surau dan masjid, di kedai-kedai kopi, di perbincangan terbuka dan tertutup peringkat atasan dan akar umbi," katanya menerusi entri terbaru di blognya, Zamkata.

Zainuddin berkata tindakan nekad dan keberanian Syed Ali dalam menyuarakan isu 1MDB terbukti apabila semua akhbar yang menyokong Najib tidak menyiarkannya kecuali akhbar The Star semalam.

Katanya, apa yang dilakukan Syed Ali ini menurut peradaban Umno sebagai halus dan bijaksana dalam membawa perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

"Ini membuktikan sokongan dengan baju merah tidak bererti di dalam hati, tidak parah dan menyerah kalah.

"Syed Ali yang diketahui pernah ke hadapan dalam isu-isu sensitif yang menjadi keluh kesah rakyat, umpamanya meminta Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhenti, nampaknya tidak lagi dapat membendung perasaannya sendiri dalam isu 1MDB.

"Syed Ali mahu flamboyan billionair Low Taek Jho yang dikaitkan dengan 1MDB dipanggil segera untuk menghadapi siasatan polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Akauntan Negara," katanya.

Sementara itu, bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu itu turut mendedahkan Najib hanya akan berundur jika permintaan itu datangnya daripada pimpinan Umno sendiri.

Beliau berkata perkara itu disampaikan oleh seseorang yang pernah memegang kuasa besar di negara ini melalui satu khidmat pesanan ringkas.

"Apa yang saya dengar, beliau tidak akan berundur melainkan Umno memintanya berundur," kata pemimpin itu kepada Zainuddin.

Syed Ali yang kecewa dengan kelembapan pasukan petugas khas ditubuhkan pada Mac bagi menyiasat operasi dana pelaburan strategik 1MDB, mendesak Low dipanggil untuk disoal siasat.

Katanya, nama Low sering timbul apabila syarikat pelaburan negara itu disebut, termasuk dalam beberapa siri pendedahan dibuat laman web pemberi maklumat Sarawak Report.

"Kami menunggu dari awal Mac. Tiada sekelumit pun yang diperkatakan mengenai siasatan oleh pasukan petugas khas ini, yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB.

"Ada satu nama yang kerap timbul apabila isu dakwaan penyelewengan dana milik negara itu dibangkitkan. Tak lain tak bukan, Low Taek Jho.

"Pasukan itu, yang bergerak perlahan macam siput, belum memanggilnya untuk disoal. Dan kita tak tahulah sama ada mereka akan memanggilnya atau tidak," tulisnya di blog Umno Cheras.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .