Dalam pilihan raya kecil di mana hampir semua menteri, pemimpin negeri, jentera kerajaan, peruntukan dan segala macam kelebihan lainnya dipertaruhkan untuk memikat hati rakyat, tetapi hanya kemenangan sekecil ini yang mampu dicapai, ia tidak lain adalah petanda buruk bagi Umno dan BN.
Hakikatnya, selain Rompin memang dikenali sebagai kubu kuat BN, ia juga merupakan kawasan Parlimen di negeri yang menjadi tapak politik perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri.
Kalau di negeri Pahang dan dalam pilihan raya kecil pula, keputusan ini ibarat "kiamat makin dekat" bagi Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.
Ini menandakan penyokong tradisi Umno iaitu rakyat luar bandar dan peneroka Felda sudah mulai terbuka minda mereka terhadap apa yang berlaku dalam negara. Mereka bukan lagi totok kepada Umno dan BN.
Sudah tentu Umno dan BN menyalahkan peratusan turun mengundi yang merosot sebagai punca pencapaian yang kurang memberangsangkan ini, tetapi secara rasionalnya keputusan ini tidak lain adalah tanda penolakan terhadap Najib sebagai PM.
Mungkin sebab lain ialah kerana penolakan rakyat terhadap GST dan masalah berkaitan Felda, terutama harga sahamnya yang juga sudah hilang lebih separuh daripada harga asal ketika disenaraikan di pasaran saham dahulu.
Apa pun, semuanya merupakan beban yang terangkum di bahu Najib selaku presiden Umno dan PM. Ini kerana GST dilaksanakan Najib dan Felda pula terletak di bawah jagaannya.
Isu GST dan Felda yang ditambah dengan beban lain yang membelit Perdana Menteri seperti 1MDB, Sirul, Rosmah serta kehilangan sokongan Tun Mahathir, menjadikan Najib semakin tidak diyakini lagi untuk terus memimpin negara ini.
Kalau di Rompin yang merupakan kubu kuat BN sudah menunjukkan penolakan yang ketara, sudah tentulah keputusan di Permatang Pauh pada 7 Mei nanti akan merangsang arus yang lebih hebat lagi.
Melalui keputusan ini yang tidak dapat disangkal lagi sebagai bukti penolakan rakyat terhadap Najib, secara tidak langsung ia adalah "tonik tambahan" kepada perubahan yang sedang digerakkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini adalah petanda, jangkaan Dr Mahathir BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang dan Najib perlu disingkirkan untuk menyelamatkannya, semakin menunjukkan tanda-tanda kebenarannya.
Bekas PM itu pasti akan meneruskan serangan pada tahap yang lebih serius lagi selepas ini untuk memaksa Najib berundur demi menyelamatkan Umno dan BN. Rakyat pula sudah mula menunjukkan kecenderungan untuk bersama-sama Dr Mahathir.
Berdasarkan kebijaksanaan pengundi di Rompin ini, Umno dan BN sudah tidak boleh diselamatkan lagi jika Najib berdegil mahu terus menghuni Seri Perdana. Rompin sudah menunjukkan tiada masa depan lagi buat Umno dan BN selagi Najib menjadi PM.
Blog ini semalam menyarankan agar pengundi Rompin bertindak bijak dengan mengurangkan majoriti kemenangan BN bagi memberi mesej kepada Najib, rakyat semakin tidak bersama dengannya dan hanya dengan adanya mesej itu yang disusuli dengan desakan ke arah pengunduran Najib, barulah masa depan parti dapat diselamatkan.
Apa pun, sekalung tahniah kepada pengundi Rompin kerana tidak meminggirkan diri daripada perubahan.
sumber
No comments: