Satu demi satu persoalan dan tohmahan dilontarkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Najib Razak yang rata-rata berkisar mengenai kepincangan pentadbiran PM tersebut.
Sebagai pemerhati yang berada di luar kerangka politik Umno, saya berasa terpanggil untuk memberikan pandangan yang mungkin dipandang sepi khalayak. Namun, atas nama peduli ada beberapa perkara yang perlu dilihat dalam situasi kini.
Pertama, desakan demi desakan yang dilontarkan Dr Mahathir kepada Najib adalah sebuah pengulangan sejarah yang harus diimbas kembali khalayak. Paling hampir dalam sejarah politik Malaysia adalah desakan yang dilontarkan Dr Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga meletakkan jawatan dan menjadi seorang PM yang paling singkat khidmatnya dalam lipatan sejarah politik di Malaysia.
Khalayak dan penyokong setia Umno harus sedar tindakan yang dilakukan Dr Mahathir ini adalah suatu tindakan yang kurang roh demokratik. Tun Abdullah diberikan tekanan untuk melepaskan jawatan tidak melalui saluran demokrasi sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu melalui undi tidak percaya di Parlimen.
Ahli-ahli Umno harus sedar, Tun Abdullah pada ketika itu diangkat menjadi PM melalui mandat yang diberikan parti komponen Barisan Nasional pasca pilihan raya umum.
Kedua, persepsi negatif kerajaan pimpinan Najib ini juga lahir dari kegagalan parti komponen BN untuk bertindak dan berfungsi dengan sebaiknya dalam kerangka demokrasi konsosiasional (consociational democracy). Teori politik konsosiasional merupakan amalan sistem politik yang digunakan kebanyakan negara-negara yang mempunyai masyarakat majmuk dan Malaysia adalah salah satu daripanya.
Mengikut kajian yang dilakukan Nordlinger, sebanyak 77 buah negara sedang membangun yang mempunyai kepelbagaian masyarakat mendapati sistem politik ini berjaya dalam mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Bahkan Arend Ljiphart juga menamakan Surinam, Cyprus dan Malaysia sebagai negara-negara dunia ketiga yang berjaya dalam mengadakan teori politik konsosiasional ini.
Namun, akhir-akhir ini politik konsosiasional BN dilihat gagal mencapai matlamatnya. Tidak dapat dinafikan antara faktor utama politik konsosiasional dalam BN gagal bagi mengubah persepsi khalayak dan menghadapi tekanan yang diberikan Dr Mahathir kerana parti-parti komponen seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain yang seharusnya bersama-sama dengan BN ketika ini mengambil langkah menutup mulut dan membiarkan Umno bersedirian.
Umno sendiri harus sedar perkara sebegini lahir kerana Umno meletakkan diri mereka sebagai sebuah parti yang terlalu dominan dalam BN yang akhirnya memakan diri mereka sendiri.
Ketiga, sebagai seorang PM yang mengetuai barisan eksekutif pentadbiran negara, Najib harus berani dan mempunyai sikap bertanggungjawab untuk menjawab isu-isu berbangkit secara terbuka. Tawaran debat terbuka Dr Mahathir harus disambut dengan berani bagi menjawab segala tohmahan yang diberikan.
Buktikan kepada khalayak, mandat dan amanah yang diberikan kepada beliau adalah ditangan pemimpin yang betul dan benar.
Selain itu, Najib juga harus sedar, barisan kabinet beliau begitu lemah dan gagal untuk menjawab persoalan-persoalan asas yang dilemparkan khalayak. Najib harus sedar, barisan kaninet beliau mensabotaj segala usaha beliau secara halus.
Kejatuhan majoriti di Rompin dan kekalahan di Permatang Pauh dan kepincangan sebaran maklumat barisan kabinet PM adalah suatu isyarat jelas, kepercayaan rakyat kepada parti Umno dan pentadbiran PM semakin berkurangan.
Pelbagai tohmahan diberikan kepada Najib tetapi sehingga kini masih tiada sebarang tindakan dan penyelesaian yang proaktif diambil beliau. Maka, atas nama tanggungjawab dan amanah yang diberikan rakyat kepada PM, isu-isu berbangkit harus diselesaikan dengan kadar segera.
Mereka yang menyalahgunakan aset dan kepentingan negara harus dibawa ke muka pengadilan dan buktikan kepada khalayak, tidak wujudnya ketirisan kuasa dan konflik kepentingan dalam pentadbiran PM.
sumber
No comments: