» » Wajarkah Dr Mahathir buat laporan polis terhadap Najib Razak ?


Serangan terbuka Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika ini sudah boleh dikira berada di tahap yang tidak boleh dipulihkan lagi. Beliau sudah dianggap "berkerat rotan, berpatah arang" dan "putus saudara" dengan Najib.

Bermula dengan serangan terhadap aspek kepimpinan, Dr Mahathir kini benar-benar menyerang sasaran yang melibatkan peribadi dan maruah Najib, terutama berkaitan pembunuhan Altantuya Shaariibuu, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kekayaan keluarganya.

Dr Mahathir juga bukan lagi mahukan apa-apa jawapan dan penjelasan daripada Najib. Beliau sudah menunggu untuk sekian lama menanti jawapan daripada Najib tetapi tiada apa-apa yang diperolehnya. Perjumpaan senyap juga sudah tertutup, kata DrMahathir.

Ketika beliau menulis surat menegur dan mengumumkan penarikan balik sokongannya, bukan jawapan atau penjelasan yang dibalas Najib, sebaliknya beliau menghantar seseorang menemui Dr Mahathir agar menarik balik isi hati yang diluahkan melalui surat itu.

Ia jelas menunjukkan Najib tidak mahu memberi penjelasan dan tidak juga mahu berubah. Pendiriannya ialah Dr Mahathirlah yang harus berundur dan menarik balik suratnya.

Ini tentu saja mengecewakan Dr Mahathir sedangkan apa yang dilakukannya hanyalah untuk menyelamatkan masa depan negara ini. Lalu, Dr Mahathir kini secara terbuka mengkritik, menarik balik sokongan dan terus menyerangnya.

Apa yang dimahukannya sekarang hanyalah satu – Najib mesti berundur dan segera meletakkan jawatan kerana dianggap terlalu banyak skandal berkaitan dirinya.

Dalam memberi tekanan kepada Najib agar berundur itu, Dr Mahathir seolah-olah berpegang kepada isu Sirul Azhar Umar yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya dan skandal kewangan melibatkan 1MDB sebagai senjata utamanya.

Dari hari ke sehari, ternampak dan memberi keyakinan kepada umum yang Dr Mahathir seperti mempunyai sesuatu bukti yang cukup kukuh untuk terus menekan dan menyingkirkan Najib.

Kata-kata dan ungkapan yang dilafazkannya kebelakangan ini jelas cukup spesifik dan tepat mengenai tengah-tengah dahi Najib. Beliau juga mula membongkar satu demi satu perkara yang tidak pernah diketahui ramai sebelum ini seperti Sirul yang rupa-rupanya pernah menjadi pengawal peribadinya sebelum ini.

Kata-kata Dr Mahathir yang berbunyi: "Ketika Sirul bekerja dengan saya, tidak pernah pula dia membunuh sesiapa" adalah jelas mempunyai makna yang mendalam dan boleh difahami oleh sesiapa pun yang ianya sedang ditujukan kepada Najib.

Walaupun Dr Mahathir dikhabarkan akan meneruskan lagi serangannya dan Najib pula, menurut Shahrir Samad, Pengerusi BNBBC, akan memberikan jawapan dan penjelasannya dalam waktu terdekat, tetapi ada baiknya pada ketika ini jika bekas Perdana Menteri itu melangkah lebih ke depan dengan beliau sendiri membuat laporan polis dan menyerahkan bukti yang mungkin yang dimilikinya berkaitan pembunuhan Altantuya dan 1MDB untuk dilakukan siasatan segera.

Sebagai bekas Perdana Menteri yang disanjung rakyat, tindakan dan keberanian Dr Mahathir sendiri membuat laporan polis akan menunjukkan kesungguhan dan ketulenan apa yang dilakukannya sekarang.

Rakyat juga akan lebih meyakini, melalui kesanggupan Dr Mahathir membuat laporan polis itu, ia benar-benar bertunjangkan untuk menegakkan keadilan dan menyelamatkan negara. Sekali gus, beliau akan lebih disanjung rakyat.

Lagi pula, terutama berkaitan Sirul, Tun Mahathir ada berkata, selain Najib mengatakan ianya merepek, tetapi sebarang siasatan tidak pernah dijalankan.

Sebelum ini hanya pemimpin Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan ada membuat laporan polis mengenai 1MDB. Tetapi belum ada sesiapa tampil membuat laporan polis mengenai Altantuya.

Dengan Dr Mahathir sedia membuat laporan polis, pihak berkuasa tentunya tiada alasan lagi untuk berdolak-dalik tidak melakukan penyiasatan atau mengatakan kes tersebut sudah ditutup dan tidak perlu dibuka semula.

Mungkin ribuan atau puluh ribuan rakyat juga sedia bersama-sama mengiringinya dalam membuat laporan polis itu.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .