Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa) merayu tambang bas ekspres dinaikkan bagi mengelak pengusaha sektor berkenaan berdepan kemungkinan gulung tikar.
Yang dipertuanya, Tajuddin Mohd Yunus berkata, kali terakhir kenaikan tambang bas ekspres adalah tujuh tahun lalu dan pengusaha tidak lagi dapat menanggung kenaikan lebih 30% kos operasi.
“Setiap tahun, kos operasi meningkat melebihi 30% membabitkan kira-kira 30 peralatan penyelenggaraan seperti tayar, alat ganti, minyak pelincir, minyak brek serta sewa terminal sedangkan kali terakhir harga tambang bas ekspres dinaikkan adalah tujuh tahun lalu.
“Rayuan kami ini bukan mahu membebankan rakyat tetapi kami adalah pihak yang terbeban hingga sudah setengah mati untuk meneruskan perniagaan ini dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya kepada Berita Harian.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bulan lalu mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20% hingga 67% manakala bas ekspres pula naik 22.6% bermula 15 Mei ini.
Bagaimanapun, Kabinet meminta SPAD menangguhkan kenaikan harga tambang pengangkutan awam seperti yang diumumkan oleh suruhanjaya itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata permintaan penangguhan itu kerana kenaikan kadar tambang itu seolah-olah membebankan rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup yang turut meningkat.
Katanya, pengumuman SPAD itu tidak sesuai ketika cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan bermula 1 April.
"Saya fikir mungkin kita (Kabinet) minta perkara itu ditangguh dahulu kerana mungkin masa tidak begitu sesuai lebih lagi diumumkan tarikh yang sama mengenai GST," katanya.
sumber
No comments: