Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang terlalu mempersoalkan gaya hidup Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara terbuka.
Presiden Mubarak Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, mempersoalkan perkara itu secara terbuka merupakan perbuatan tidak berhemah yang menyebabkan perdana menteri itu menjadi bahan gurauan politik.
"Kalau mahu kritik biarlah secara berhemah, kalau nak persoalkan kena bersama, tidak boleh terbuka hingga ia tersebar di media sosial, sekali gus menjadikan Najib sebagai bahan gurauan politik," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini apabila diminta mengulas mengenai serangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad mengenai gaya hidup mewah Najib dan ahli keluarganya.
Bekas ahli Parlimen Temerloh itu berkata, gaya hidup mewah Najib tidak seharusnya menjadi isu kerana sememangnya perdana menteri itu mewarisi kekayaan ahli keluarganya.
Siri serangan terbaru Dr Mahathir terhadap Najib menyaksikan bekas perdana menteri itu mempersoalkan gaya hidup mewah yang dijalani presiden Umno itu termasuk mengkritik perkahwinan gilang-gemilang anaknya yang diadakan awal bulan ini.
Serangan Dr Mahathir itu menuntut Umno menyingkirkan Najib bagi memastikan kelangsungan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, ia menimbulkan pelbagai reaksi, bukan sahaja daripada kepimpinan tertinggi Umno malah ahli di peringkat akar umbi.
Sementara itu, ketua penerangan Mubarak Abdul Rahman Sulaiman berkata, mereka yang menentang Najib tidak seharusnya merendahkan taraf mereka dengan mengkritik gaya hidup Najib.
Beliau menjelaskan, Najib sememangnya 'orang kaya' kerana datuknya ada menubuhkan sebuah tabung dana bagi menjaga keluarganya.
"Tidak perlu merendahkan taraf dengan begitu rendah mengkritik gaya hidup peribadi.
"Sebenarnya beliau (Najib) memang orang kaya. Datuknya Tan Sri Mohammad Noah Omar merupakan Speaker pertama Parlimen.
"Beliau ada menubuhkan tabung. Dana (Noah Foundation) bagi menjaga ahli keluarganya," katanya.
Pada masa sama, Aziz menyifatkan perbalahan antara Najib dan Dr Mahathir tidak membawa sebarang manfaat sebaliknya hanya memberi kelebihan kepada pembangkang.
Bekas ahli Parlimen Barisan Nasional itu menyatakan kebimbangan sekiranya isu tersebut berterusan ia akan menjejaskan sokongan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Apa yang kita bimbang, pada pilihan raya yang mungkin akan berlangsung dua tiga tahun nanti, ia mungkin menjejaskan BN, sebab pembangkang makin kuat sekarang ini," katanya.
Beliau berkata, Mubarak turut berusaha mengadakan pertemuan bagi membawa dua pemimpin itu bersemuka, bagaimanapun ia seperti tidak mendatangkan sebarang hasil.
"Kita pernah buat... Dulu kita buat.. dua tiga kali.. ia tidak datangkan hasil," katanya.
Ditanya bagaimanakah kesudahannya sekiranya serangan itu berterusan, beliau menjawab: "hanya kedua-dua pemimpin itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah tersebut."
sumber
No comments: