Di ketika Tun Dr Mahathir Mohamad makin meningkatkan serangan untuk mengasak pengunduran Datuk Seri Najib Razak, siapa bakal mengisi kerusi perdana menteri nampaknya mula menjadi perbalahan.
Bekas perdana menteri itu sudah beberapa kali menyebut pengganti Najib ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin berdasarkan kedudukannya sebagai orang nombor 2 dalam parti sekarang ini.
Kalau ikut adat Umno, tentulah timbalan jadi pengganti, katanya dalam program Bicara Negawaran, baru-baru ini.
Sebelum itu juga Dr Mahathir sudah pun menyebut nama Muhyiddin untuk menggantikan tempat Najib.
Mengukuhkan lagi keinginannya terhadap Muhyiddin, Dr Mahathir juga melahirkan keyakinan Muhyiddin tidak akan mengulangi segala kesilapan yang dilakukan Najib selama ini.
Sementara pelbagai peringkat dalam Umno dilihat dapat menerima dengan baik kedudukan Muhyiddin sebagai pengganti Najib, lain pula halnya dengan beberapa pemimpin pembangkang.
Walaupun bersetuju dan menerima hakikat Najib wajib digantikan segera demi menyelamatkan masa depan negara, beberapa pemimpinnya lebih menaruh keyakinan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah berbanding Muhyiddin.
Bermula dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Raub daripada DAP Arif Sabri Abdul Aziz yang mengatakan Tengku Razaleigh atau Ku Li lebih berkelayakan untuk memulihkan pelbagai masalah dalam negara berbanding Muhyiddin, terbaru ini Rafizi Ramli dan Lim Kit Siang juga lebih bersetuju dengan kemampuan serta ketokohan Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Mereka seolah-olah sepakat perlunya penggantian Najib adalah kerana negara diurus dengan begitu teruk dan sudah tentu penggantinya harus dipilih daripada kalangan yang paling berwibawa dan berkemampuan sekali.
Dengan 2 nama kini sudah muncul dan semakin meluas diperkatakan sebagai pengganti Najib, bukan saja konflik mungkin timbul tetapi juga tidak mustahil bertukar menjadi persaingan siapa lebih dulu dapat merampas kerusi perdana menteri itu.
Melalui gerakan yang sedang dilakukan oleh Dr Mahathir sekarang, Najib akan ditekan atau dipaksa berundur atas kebimbangan Umno dan BN akan kalah dalam pilihan raya akan datang.
Penggantinya sudah tentu akan dipilih berdasarkan hireaki seperti mana dalam kes pengunduran Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Abdullah sebelum ini.
Tiada kesangsian lagi Muhyiddinlah pilihan untuk itu. Berapa lama usaha menekan Najib ini akan menemui titik kejayaannya banyak bergantung kepada ketahanan Najib untuk terus bertahan.
Walaupun arus bawah Umno lebih memihak kepada Dr Mahathir, Najib pula menggenggam erat pimpinan atasan, terutama Ketua-Ketua Bahagian.
Tetapi dengan Dr Mahathir semakin agresif melakukan asakan, sokongan yang diterima Najib bila-bila masa saja boleh runtuh kiranya Muhyiddin dan sebahagian pimpinan dalam Umno mengambil pendirian memihak kepada bekas perdana menteri.
Jika ini berlaku, maka Muhyiddin bukan saja dipilih berdasarkan hireaki dalam Umno tetapi juga merupakan pilihan Dr Mahathir.
Bagaimanapun jika gerakan yang diusahakan oleh Dr Mahathir ini berlarutan lebih lama atau tidak berjaya, pertukaran perdana menteri mungkin terpaksa dilakukan melalui usul tidak percaya terhadap Najib di Parlimen.
Jika ini dilakukan, tentunya nama Ku Li lebih menjadi pilihan berbanding Muhyiddin. Ini kerana usaha ini memerlukan kesepakatan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen PR seramai 88 orang.
Dengan penyertaan sebahagian Ahli Parlimen Umno serta wakil dari Sabah dan Sarawak, PR yang terdiri dari Pas, PKR dan DAP mungkin tiada masalah untuk memberi sokongan kepada pertukaran Perdana Menteri jika calonnya ialah Ku Li yang diyakini mampu menampilkan kepimpinan lebih baik untuk negara.
Ia akhirnya akan membentuk kerajaan campuran yang merentasi sempadan kaum dan ideologi politik dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.
Sama ada melalui gerakan Dr Mahathir atau pilihan Parlimen, ruang untuk memperolehi perdana menteri baru nyata sentiasa terbuka dan dalam masa yang sama, peluang untuk Najib bertahan lebih lama turut semakin sukar, kecuali jika beliau rela melihat hilangnya kuasa Umno dan BN berlaku di bawah kepimpinannya.
No comments: