Jenaka, gurauan dan sindiran, atau satira, kini bukan lagi boleh dijadikan bahan ketawa apabila Putrajaya mengetatkan lagi undang-undang hasutan bagi mengawal pandangan berbeza dan komen melalui Internet.
Pindaan Akta Hasutan 1948 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 April itu juga memaksa saluran berita satira lebih berhati-hati menjadikan ahli politik dan badan kerajaan sebagai bahan gurauan mereka.
Salah satu daripadanya, Fake Malaysia News (FMN), mengakui mereka kini lebih berhati-hati dengan cara penulisan berita palsu secara sindiran, selepas undang-undang terhadap laman berita dan penggunaan media sosial semakin ketat.
"Kami cuba supaya bahan lawak kami tidak menampakkan seolah-olah ayat itu datang secara langsung dari mulut seseorang ahli politik.
"Sebaliknya kami kini menggunakan lebih banyak 'jurucakap' tanpa nama atau rekaan untuk membuat komentar dan gurauan bagi menyampaikan mesej yang sama, dengan harapan kami selamat daripada dikenakan tindakan undang-undang," kata pengasas FMN yang hanya mahu dikenali sebagai Adam, kepada The Malaysian Insider.
Katanya, setiap orang kini lebih cermat dan penerbit kandungan perlu lebih bertanggungjawab terhadap setiap bahan di atas talian.
"Kami tak boleh bercakap bagi pihak orang lain, tetapi di FMN, kami meletakkan penafian (disclaimer) di merata tempat supaya pihak berkuasa sedar kami tidak ada agenda lain kecuali ingin membuat lawak," kata Adam.
Pindaan Akta Hasutan termasuk memberi kuasa kepada mahkamah mengharamkan pengedaran penerbitan yang dianggap menghasut.
Selain itu, mana-mana penerbitan yang boleh membawa mudarat kepada tubuh badan atau harta benda, atau dilihat menimbulkan niat jahat, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama, juga dianggap menghasut.
Mahkamah juga boleh mengarahkan pihak berkuasa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia memadam bahan hasutan atas talian yang dimuat naik individu yang tidak dikenalpasti.
Pindaan akta ini mengundang kritikan peguam dan ahli politik pembangkang yang menganggapnya sebagai "serangan" terhadap kebebasan bersuara dalam masyarakat demokratik.
"Tahap apa yang dikatakan hasutan itu rendah dan ini sudah memadai untuk mahkamah membenarkan permohonan dari peguam kerajaan," kata peguam hak sivil Syahredzan Johan.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian memberi amaran kepada Putrajaya mengenai bahaya mengenakan kawalan ketat sedemikian terhadap laman web, kerana ia akan akhirnya menyebabkan rakyat sangsi dengan keupayaan kerajaan berhujah secara bijak mempertahankan pandangannya.
"Jika mereka didiamkan atau disekat, ia akan menghadkan orang ramai melontarkan pandangan dan boleh menyebabkan hilang minat terhadap proses politik.
"Jika undang-undang itu digunakan untuk menekan mereka, ia akan memberi mesej bahawa kerajaan berasa tidak selamat dan tidak berupaya berhujah menjawab isu secara bijak.
."Pada jangka masa panjang, kerajaan mungkin berjaya tetapi kalah dalam memenangi hati dan fikiran rakyat," kataya.
Adam mendedahkan, FMN meletakkan beberapa peraturan terhadap subjek "taboo" (pantang) untuk dijadikan bahan jenaka termasuk isu agama dan kaum.
"Kami ada beberapa peraturan yang kami cuba seboleh mungkin tidak melanggarnya. Kami cuba mengecam tokoh masyarakat berdasarkan perkara merepek yang mereka kata dan buat, dan elakkan daripada menyentuh hal kaum dan agama.
"Tragedi sebenar juga kini sangat sukar untuk dijadikan bahan sindiran yang bagus, jadi kami hanya menulis sedikit sahaja mengenai nahas penerbangan tahun lalu," katanya.
FMN kini menerima kira-kira 1,000 hingga 5,000 capaian setiap hari dan cerita terbaiknya dikongsi di media sosial sehingga 40,000 kali.
Kebanyakan laman web berita atau artikel berbentuk sindiran adalah berdasarkan isu semasa, isu politik dan beberapa kenyataan yang dibuat kerajaan pemerintah atau agensi yang berkaitan.
Ia termasuk menjadikan wawancara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan TV3 baru-baru ini sebagai bahan jenaka, kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa isu hangat kebelakangan ini.
Pernah beberapa kali pembaca tersilap menyangkakan artikel yang disiarkan FMN itu benar, tetapi Adam menegaskan petanda yang diberi sudah mencukupi memberitahu pembaca mengenainya.
"Kalau kami betul-betul hendak menipu pembaca, kami akan gelarkan laman kami 'The Malaysian News Bulletin' atau nama lain yang berbunyi serius.
"Kami letak 'Fake Malaysia News' (Berita Malaysia Palsu) di URL dan menyatakan ia satu satira di bahagian bawah laman web kami dan di halaman 'About Us' (Tentang Kami).
"Kadang kala kami juga hadapi masalah apabila pengguna Facebook berkongsi dan komen tentang tajuk berita palsu kami tanpa membaca isi kandungannya, tetapi kebanyakan yang membacanya tahu ia terlalu bodoh untuk dipercayai.
"Ia hanya hiburan semata-mata, membuat jenaka tentang isu semasa dan tajuk utama berita, jadi kami hanya ingin membuat orang ketawa," katanya.
Namun, ketua pengarang FMN itu berkata artikel mereka menerima kritikan penyokong tegar kedua-dua pihak politik yang terlibat.
"Mereka yang mati-matian taat kepada pemimpin politik tertentu, dari kedua-dua belah pihak, marah kerana merasakan wira mereka tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan.
"FMN kebanyakannya didorong oleh tajuk utama, jadi kami boleh membuat lawak tentang GST (cukai barangan dan perkhidmatan) atau Langkah Kajang pembangkang jika rasa boleh dijadikan bahan jenaka. Kebanyakan rakyat Malaysia menerima kami sebaiknya," katanya.
Adam dan beberapa individu mendapat inspirasi menubuhkan laman web itu semasa mereka menghadiri satu majlis perkahwinan di Kuching.
"Semasa majlis itu, kami terperap dalam bilik hotel dan hanya ada surat khabar sebagai hiburan. Kami melontarkan beberapa idea lucu dan terfikir kenapa tidak ada laman web satira di Malaysia untuk rakyat Malaysia. Di situ bermulanya FMN," katanya.
Beliau menjelaskan sementara berita satira itu palsu, yang membuatkan ia menyeronokkan ialah elemen kebenaran di dalamnya yang didorong kekecewan dan keresahan tentang sesuatu isu.
sumber
No comments: