Bekas menteri penerangan, Tan Sri Rais Yatim, menyalahkan Jabatan Penerangan dan bahagian penerangan Umno yang dilihat gagal menjelaskan persoalan yang dilontar kepada perdana menteri, mutakhir ini.
Menurut penasihat sosio-budaya kerajaan itu, pendekatan lapuk Umno dalam menangani isu di luar parti tidak lagi berkesan.
"Umno menggunakan pendekatan tradisional berdepan dengan isu luaran parti.
"Penerangan Umno kini sudah tidak berkesan dan lesu sedangkan penerangan kerajaan pula tidak mampu meredakan suasana lantaran isu-isu yang dijawab dianggap tidak memuaskan majoriti," katanya seperti dilaporkan ASTRO Awani.
Jelasnya, Jabatan Penerangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, tidak lagi memanfaatkan sepenuhnya pegawai mereka yang dibayar gaji untuk menerangkan isu semasa kepada rakyat.
"Lebih 2,000 pegawai Jabatan Penerangan tidak lagi diberi tugas penerangan bersemuka seperti dahulu.
"Kini mereka duduk di pejabat dan baca akhbar atau kadang-kadang memasang pembesar suara untuk orang kenamaan," katanya seperti dipetik di dalam laporan itu.
Tanpa huraian lanjut, Rais turut menyifatkan yang Najib kini sudah tidak boleh bergantung harap dengan orang di sekelilingnya dan Umno kini "dihinggapi penyakit lama".
"Orang keliling Najib sudah tidak mampu membantu. Malah sudah ada suara-suara daripada Naib Presiden UMNO pula yang menggesa supaya perubahan dilakukan dan Najib Razak wajib menjawab segera soalan-soalan Dr Mahathir .
"Penyakit lama Umno muncul kembali," katanya.
Hari ini, mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terus mendesak Najib menjelaskan perkara sebenar yang terjadi kepada wang yang tidak dapat dikesan dalam dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kehilangan ini adalah tentang lesapnya wang yang tidak dapat dikesan. Ini boleh jadi kerana rasuah atau kecurian," tulisnya dalam blognya hari ini.
Dalam tulisan dan kenyataan sebelum ini, Dr Mahathir menasihatkan Umno agar menyingkirkan Najib jika mahu terus kekal dalam pilihan raya akan datang.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini menggesa Najib memberi maklum balas kepada Mahathir.
Najib pada 9 April 2015 lalu teleh muncul dalam satu wawancara khas di televisyen untuk menjawab soalan-soalan Mahathir , namun Dr Mahathir tetap terus mengkritiknya kerana Najib Razak gagal menjawab soalan-soalan yang dilontarkan pada beliau .
sumber
No comments: