Polis perlu menangkap ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) dan membekukan asetnya untuk membantu siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata seorang pemimpin pembangkang hari ini.
Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua berkata Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mendapatkan pihak berkuasa asing untuk membekukan aset Low bagi memastikan wang yang dikatakan telah disalurkan daripada 1MDB, tidak hilang.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata adalah membingungkan mengapa polis belum menyoal Low.
Laman web pemberi maklumat Sarawak Report telah menerbitkan siri pendedahan yang mendakwa Low telah menggelapkan wang 1MDB, termasuk lebih AS$1 bilion daripada dana yang dimaksudkan untuk syarikat usahasama 1MDB PetroSaudi Limited.
Low bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya ada peranan dalam skandal itu. Beliau mendakwa walaupun 1MDB telah meminta nasihatnya mengenai perkara-perkara tertentu, tetapi dia tidak pernah mendapat keuntungan daripadanya dan tidak mempunyai peranan rasmi dalam firma itu.
Low berkata kaitannya dengan syarikat itu hanyalah dia telah membantu menubuhkan TIA - sebelum ia menjadi 1MDB.
Beliau juga menuduh Umno sebagai pakar putar belit berhubung skandal itu.
sumber
No comments: