Ketua Pemuda Umno Gombak Mohamed Muizz meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan kritikan secara terbuka terhadap perdana menteri Datuk Seri Najib Razak kerana perbezaan era di antara 2 pemimpin tersebut.
Menurut Mohamed, kritikan bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu dihormati pihak Pemuda Umno, namun kritikan yang dilakukan berterusan sejak akhir-akhir ini terhadap Najib perlulah dilakukan secara tertutup dan diselesaikan secara baik.
"Era pemerintahan (pentadbiran) beliau (Dr Mahathir) dan Najib tidak sama, terutamanya melibatkan arus media massa yang boleh disebarkan sekelip mata tanpa kita tahu kesahihannya," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.
Menurut Mohamed, Dr Mahathir perlu menghentikan serangan berterusan dan membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan lain-lain supaya tidak memberi kesan buruk kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
"Kami menyeru Dr Mahathir menghentikan cubaan menjatuhkan Najib dengan mengutuk kepimpinan dan dasar dibawanya termasuk isu 1MDB, GST, BR1M dan lain-lain. Ini boleh menyebabkan hilang fokus dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14," katanya kepada akhbar tersebut.
Pihaknya turut menegaskan, peralihan kuasa yang cuba dibawa Dr Mahathir sebagai suatu perkara yang tidak relevan.
"Bagi ruang dan peluang kepada perdana menteri tunjukkan kebolehan serta persiapan pilihan raya nanti.
"Kami sokong penuh kepimpinan Najib dan berharap pimpinan tidak hilang fokus dan berdiri di belakang perdana menteri," katanya.
Semalam, Dr Mahathir meneruskan kritikannya terhadap sikap bermewah Najib dengan membangkitkan perkahwinan anak perempuan perdana menteri yang berlangsung baru-baru ini.
Dr Mahathir membuat perbandingan dengan majlis perkahwinan 5 anaknya, sambil memperli Najib dengan mengadakan perkahwinan mewah yang dianggap sebagai "perkahwinan abad ini".
"Siapa di sini ingat tentang perkahwinan anak saya 5 orang?
"Siapa pun tidak tahu, pasal saya ini kedekut, tidak panggil banyak orang. Tidak ada duit nak belanja.
“Ini bukan main. Perkahwinan abad ini (the marriage of century), bukan tahun ini," kata Dr Mahathir di hadapan kira-kira 1,000 orang ramai yang hadir pada forum Bicara Negarawan di Kelab K, Taman Melawati, Selangor semalam.
sumber
No comments: