Keputusan prosiding salah laku Tan Sri Cecil Abraham akan diumumkan tidak lama lagi dan diharap dapat mendedahkan individu yang bertanggungjawab mengarahkan peguam terkemuka itu menyediakan akuan bersumpah (SD) kontroversi berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, 9 tahun lalu, menurut sumber.
Abraham dikatakan bertanggungjawab merangka SD kedua yang dibacakan mendiang P Balasubramaniam, penyiasat peribadi kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda.
Keputusan itu dibuat selepas peguam kepada Balasubramaniam, Americk Sidhu mengeluarkan satu kenyataan semalam yang menuntut supaya Abraham juga perlu mengemukakan jawapan sama ada beliau menerima panggilan telefon daripada Datuk Johari Razak, pada Julai 2008, untuk menyediakan SD kontroversi itu.
Johari adalah adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam satu kenyataan Americk semalam, beliau juga menuntut polis menyiasat beberapa individu termasuk DSP Musa Safri yang pernah menjadi pembantu peribadi Najib ketika menyandang jawatan timbalan perdana menteri, peniaga permaidani Deepak Jaikishan yang dikatakan rapat dengan keluarga Najib , isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.
Americk juga mencadangkan polis menghubungi seorang pegawai penyiasat kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikenali sebagai Abdul Rahman Bachok yang didakwa mempunyai fail keseluruhan siasatan ketika Bala mengesahkan SD berkenaan.
Sumber memberitahu The Malaysian Insider, kira-kira 15 saksi memberi keterangan semasa prosiding Abraham dijalankan jawatankuasa tatatertib 3 hakim Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara.
Americk yang juga saksi dalam prosiding itu memberi keterangan bagi pihak Majlis Peguam terhadap pengadu dalam kes berkenaan.
Sumber berkata, pihak yang mengemukakan permohonan baru-baru ini kepada jawatankuasa tatatertib 3 hakim itu termasuk orang awam sebagai pertimbangan mereka.
Walaupun prosiding dijalankan di hadapan jawatankuasa itu, namun keputusan muktamad sama ada mengesahkan atau mengubah keputusan terbabit terletak kepada lembaga disiplin yang dipengerusikan seorang bekas hakim.
"Abraham akan mengetahui keputusan berkenaan tidak lama lagi sama ada lembaga 17 ahli lembaga pengarah membebaskannya atau mengesahkan dapatan daripada jawatankuasa itu,” kata sumber lain yang terlibat dalam prosiding berkenaan kepada The Malaysian Insider.
Jika peguam kanan itu didapati bersalah, dia mungkin diberi amaran, digantung, didenda atau boleh dilucutkan keahlian dalam Majlis Peguam.
Beberapa peguam dan seorang bekas pengarang kanan Harakahdaily turut hadir memberi keterangan di hadapan jawatankuasa itu yang mula merekodkan pendengaran bukti pada Mac tahun lepas.
Bekas pengarang kepada portal rasmi PAS itu memberi keterangan berkaitan temu bualnya dengan Deepak.
Sumber berkata, keterangan pengarang itu penting bagi menyokong keterangan 2 saksi peguam lain yang hadir pada sesi pendengaran di hadapan jawatankuasa tatatertib sebelum ini.
Dalam SD pertama beliau, Balasubramaniam menyebut Najib dan beberapa tokoh lain dalam pembunuhan Altantuya.
Kenyataan bersumpah kedua Balasubramaniam pula dikeluarkan sehari selepas akuan pertama pada 3 Julai, 2008 dikeluarkan di mana beliau menarik balik SD pertamanya dengan mendakwa beliau menandatanganinya dalam keadaan terpaksa.
Dalam temu bual bersama pengarang berkenaan pada akhir 2012 yang dirakamkan serta dimuat naik ke laman YouTube TVPAS, Deepak mendedahkan nama Abraham ketika menjelaskan peranannya dalam SD kedua itu.
Namun dalam klip video berdurasi 14 minit dan 39 saat itu, nama peguam terbabit disenyapkan.
Persoalan pokok perbicaraan tatatertib ini adalah mengenai Abraham yang dikatakan menyediakan kandungan SD kedua ketika umum mengetahui peguam Balasubramaniam pada masa itu adalah Americk.
Deepak sebelum ini mengakui terlibat membantu Balasubramaniam bagi menafikan SD pertama dengan mendapatkan 2 peguam untuk menyediakan kenyataan baharu.
Balasubramaniam meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac, 2013 beberapa minggu selepas pulang ke Malaysia daripada menetap di luar negara.
Americk pada mesyuarat agung tahunan Majlis Peguam tahun lalu memberitahu Abraham mengaku beliau adalah individu yang bertanggungjawab merangka SD kedua Balasubramiam.
Beliau juga kemudian memberitahu pemberita arahan terhadap Abraham itu dikeluarkan Najib.
"Saya tidak berminat untuk memasukkan aduan kepada lembaga. Agenda saya hanya untuk mencari siapa yang mengarahkan beliau untuk melakukannya," kata Americk.
Dua bekas komando polis – Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri – yang didakwa terbabit dalam pembunuhan Altantuya didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada Januari tahun ini.
Razak merupakan salah seorang orang kanan Najib yang didakwa bersubahat bersama Azilah dan Sirul namun dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa dipanggil membela diri.
Kerajaan tidak merayu mengenai pembebasannya walaupun motif pembunuhan Altantuya tidak pernah didedahkan.
Sirul yang kini ditahan di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney mendakwa dia bertindak mengikut arahan untuk membunuh Altantuya.
Beberapa ahli politik termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kini menuntut supaya polis menyiasat dalang yang mengarahkan Sirul dan Azilah membunuh wanita Mongolia itu.
Mereka menegaskan motif pembunuhan itu tidak pernah didedahkan walaupun kes itu diheret ke 3 mahkamah berasingan dalam tempoh 8 tahun.
Bukti dalam mahkamah mendedahkan Altantuya dibunuh sebelum mayatnya diletupkan menggunakan bahan letupan C4 pada 18 Oktober, 2006 di pinggir Shah Alam berdekatan ibu kota Kuala Lumpur.
sumber
No comments: