Ia berlangsung kira-kira 1.5 km dari rumah saya di Taman Melawati. Apa yang berlaku hari ini, mengingatkan saya apa yang berlaku kira-kira 9 tahun lepas di tempat yang sama.
Di situlah Dr Mahathir diundang untuk memberi ucapan dan bersoal jawab dengan orang ramai mengenai kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Di situlah beliau menyindir dan membelasah Abdullah. Ia juga dianjurkan individu yang sama yang berselindung di sebalik nama NGO yang lain.
Hari ini maksud dan tujuan sama juga berlaku, hanya bezanya orang yang menjadi sasaran Dr Mahathir ialah Datuk Seri Najib Razak.
Mungkin Dr Mahathir terbawa rasa syok dengan serangan siang malam beliau kepada Abdullah menyebabkan akhirnya Abdullah melepaskan jawatan perdana menteri secara terhormat.
Dr Mahathir puas apabila Abdullah berundur. Dan dia puas apabila orang yang beliau cadangkan diambil oleh Abdullah sebagai timbalan (Najib) menjadi perdana menteri.
Sayangnya panas tidak sampai ke petang, belum sampai 10 tahun Najib jadi PM, Dr Mahathir membina masalah dengan Najib. Dia tidak mencapai apa yang diimpikan dengan pengunduran Abdullah itu, bahkan kenaikan Najib makin memarahkan jiwanya.
Membaca laporan kupasan dan jawapan Dr Mahathir dalam program itu, ia menggambarkan kekecewaan yang amat sangat bekas presiden Umno Baru itu kepada kepimpinan Najib.
Dr Mahathir seakan sudah habis ikhtiar dan kecewa dengan Najib yang masih mempertahankan kedudukannya dan enggan berundur walaupun beliau kini dilanyak olehnya.
Apa yang dibangkitkan Dr Mahathir hari ini, beliau mengulangi akan alasan dan sebab kenapa dia mahukan Najib berundur seperti mana dicanangkan selama ini.
Dr Mahathir juga dilaporkan membangkitkan budi dan jasanya menaikkan Najib ke tempat hari ini. Apabila soal budi pun dijadikan modal untuk mencincang Najib ini dikira teruklah.
Perkara yang dibangkitkan Dr Mahathir untuk menghuduhkan Najib ialah mengenai isu 1MDB, pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dan paling baru Dr Mahathir turut mempertikaikan sifat boros yang diamalkan oleh isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.
Apabila Dr Mahathir turut mengusik Rosmah, nampaknya Dr Mahathir turut sama menyentuh isu peribadi Najib.
Mengenang rasa kecewa Dr Mahathir yang gagal untuk menurunkan Najib itu, saya teringat kepada doa arwah bekas presiden PAS Fadzil Mohd Noor yang mahukan Dr Mahathir dipanjang umur oleh Allah untuk membolehkan Dr Mahathir melihat dan merasai hukum karma Allah kepadan atas apa-apa kesilapan dan kejahatan yang dilakunya semasa menjadi perdana menteri.
Nah, apa yang berlaku hari ini, kesakitan jiwa Dr Mahathir terhadap Najib merupakan salah satu apa yang ditunjukkan Tuhan kepadanya seperti mana yang didoakan oleh Allahyarham Fadzil Noor itu.
Hari ini Dr Mahathir sedang diserang oleh sakit jiwa kerana ulah yang beliau lakukan selama ini. Dr Mahathir juga memperakui pilihan beliau sebagai penggantinya selama ini silap. Beliau kesal dengan Abdullah dan Najib.
Dr Mahathir mengakui kesilapan itu tetapi tidak pernah apologetik kepada diri sendiri atas kekejamannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebenarnya kesilapan Dr Mahathir bukan sahaja mengangkat Abdullah sebagai PM dan menulis surat kepada Abdullah agar memilih Najib sebagai timbalannya, tetapi kesalahan besar beliau ialah bertindak memecat dan menganiaya Anwar.
Dr Mahathir sepatutnya sedar hal ini dan dia juga perlu menerima Tuhan hanya memberi pelaung kepada seseorang itu tidak lebih daripada 2 kali.
Mengenai usaha untuk menyingkirkan Najib itu, saya tidak fikir ia semudah apa dilakukan kepada Abdullah.
Najib nampak lembik tetapi dia sebenarnya keras. Abdullah berundur kerana bekas PM ke-5 itu ada moral dan integriti tersendiri.
Abdullah ada rasa malu dan hormat atas desakan awam, tetapi tidak dengan Najib.
Najib sebagai anak bangsawan tidak mudah bersikap seperti Abdullah kerana pengalaman dilalui Abdullah itu akan diguna pakai oleh Najib.
Perlu diingat Abdullah adalah cucu ulama yang mempunyai akhlak dan moral yang tinggi.
Kelebihan Najib selain daripada dia mempunyai sokongan agar umbi yang kuat, Najib juga ada seorang isteri yang kebal yang memainkan peranan memperkukuhkan Najib.
Suka atau tidak, sayang atau benci, hakikatnya Rosmah adalah pembantu dan pendokong baik kepada Najib. Atas alasan dan hujah itu saya melihat sukar untuk Dr Mahathir melihat Najib akan ikut pelan penguduran yang dicadangkan Dr Mahathir.
Dr Mahathir katanya membentangkan pelan pengunduran untuk Najib, pada Jun depan.
Yakni ada 2 bulan lagi. Orang yang ditunjuk untuk mengambil alih tempat Najib ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saya yakin kepada apa dinyatakan Tengku Razaleigh Hamzah Dr Mahathir tidak mempunyai power untuk menjatuhkan laki Rosmah.
Ertinya selagi Dr Mahathir mengharap Najib dijatuhkan secara nature dalam Umno beliau tetap akan kecewa, kerana ahli Umno kini yang sudah diternak dan diberi makan oleh Najib sesekali tidak mudah untuk mematuk tangan Najib dan Rosmah.
Bagi kebanyakan ahli Umno khasnya ketua-ketua bahagian dan wakil rakyat BN sudah cukup selesa dengan apa yang ada kini, maka mereka tidak akan derhaka. Ular sawa kalau sudah kenyang ia akan tidur.
Harapan Dr Mahathir kepada Muhyiddin untuk mengambil alih tempat Najib juga tidak cukup power kalau pun Muhyiddin ghairah untuk jadi PM.
Maksudnya Muhyiddin tidak mempunyai pengaruh yang kuat peringkat akal umbi dalam Umno untuk menjadi pelantar kepada kenaikkannya.
Muhyiddin juga perlu berwaspada dan jangan ikut sangat kehendak dan arahan Dr Mahathir.
Sejujur saya kata kalau Dr Mahathir ingin menjatuhkan Najib secara nature dalam Umno beliau harus berkolobrasi dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, naib presiden yang mempunyai pengaruh yang luas.
Dan kalau mahu menjatuhkan Najib di luar Umno, beliau harus berpakat dengan Tengku Razaleigh dan Anwar.
Soalnya apakah Zahid bersedia menjadi cinta buta kepada Dr Mahathir?
sumber
No comments: