Rasanya sudah lebih dari sekali Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon paling layak menggantikan tempat Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang.
Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainudddin juga menyebut nama Muhyiddin dan tokoh wartawan negara, A Kadir Jasin yang rapat dengan kedua-dua tokoh tersebut turut menulis nama timbalan PM itu sebagai pengganti paling munasabah bagi kerusi PM selepas Najib diundurkan.
Dengan kedudukan sebagai orang nombor dua dalam Umno dan kerajaan, memang tidak disangsikan, Muhyiddin seharusnya diberikan kerusi PM jika pengunduran Najib berjaya dilakukan, meskipun nama seperti Tengku Razaleigh Hamzah turut sama menjadi sebutan.
Dr Mahathir dalam program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam, mengulangi sekali lagi, bahkan seakan-seakan mengesahkan, kerusi PM selepas ini bakal menjadi milik Muhyiddin.
Kalau ikut adat Umno, tentulah timbalannya jadi pengganti, kata bekas PM selama 22 tahun yang sebelum ini juga pernah menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dari kerusi PM.
Lebih dari itu, Dr Mahathir juga melahirkan keyakinannya, Muhyiddin tidak akan mengulangi kesilapan seperti yang dilakukan pentadbiran Najib selama ini.
Saya yakin kalau dia naik, dia takkan buat benda macam itu. Dia tahu kalau buat macam itu, dia pun akan kena macam ini juga, katanya lagi.
Setelah melakukan banyak kritikan melalui tulisan di blog dan melalui sidang akhbar sebelum ini, Dr Mahathir buat pertama kalinya "turun padang" dalam satu program Bicara Negarawan di Taman Melawati semalam untuk menjelaskan sebab-sebab beliau mengkritik dan mahukan Najib turun daripada jawatan PMnya.
Jika Najib kekal lagi, BN akan kalah. Tanpa isu 1MDB dan Sirul pun, prestasi Najib tidak lebih baik. Saya minta tak banyak, cuma satu saja iaitu Najib letaklah jawatan, jelas Dr Mahathir lalu disambut tepukan gemuruh ribuan yang hadir.
Sedianya beliau "turun padang" ini dianggap banyak pihak sebagai bermulanya program jelajah untuk menekan, mengasak dan akhirnya memastikan Najib dapat diturunkan sebagaimana yang pernah dilakukannya kepada Abdullah bermula 2006 dahulu.
Adalah dijangka lebih banyak lagi program turun padang melibatkan Dr Mahathir selepas ini. Sebagai tokoh yang tidak pernah mengalah, malah kuasa besar seperti AS pun dilawannya, selagi Najib tidak mahu berundur, bekas PM selama 22 tahun itu pasti meningkatkan lagi stamina serangannya.
Titik akhir bagi Dr Mahathir dalam perjuangannya ini tidak lain ialah Najib mesti berundur atau diundurkan.
Semalam saja, sudah ada beberapa pihak menemui penganjur di Taman Melewati untuk berbincang bagi membawa Dr Mahathir ke tempat atau negeri-negeri lain pula.
Dalam hal ini, kerana nama Muhyiddin sudah disebut banyak kali sebagai pengganti Najib dan tokoh harapan untuk membawa kemenangan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang, Timbalan PM itu tidak seharusnya berdiam diri lagi.
Muhyiddin, mungkin selepas berakhirnya pilihanraya kecil Rompin dan Permatang Pauh, harus menyatakan pendiriannya dengan segera. Beliau tidak harus berlengah lagi kerana sikap dan pendiriannya mungkin boleh mempercepatkan "ombak bertukar menjadi gelombang".
Apakah beliau benar-benar mahu bersama perjuangan Dr Mahathir yang disokong majoriti ahli Umno akar umbi demi menjamin kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang atau ingin terus kekal bersama Najib dan bersama-sama memungkinkan kekalahan kepada parti itu?
Walaupun beberapa pemimpin Umno seperti Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan hubungan Najib dengan Muhyiddin tiada masalah, sekarang bukanlah soal hubungan tetapi lebih kepada masa depan parti dan kerajaan.
Sekarang adalah masa untuk Muhyiddin membuat pilihan dan sama ada kepentingan parti atau Najib yang mahu diutamakannya?
Lebih lama Muhyiddin berdiam diri, lebih sukar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan BN kerana "kerosakan" yang diakibatkan Najib hakikatnya terlalu buruk dan tentunya memakan masa untuk dipulihkan.
Dr Mahathir sendiri dalam ucapannya semalam berkata, selepas pertukaran PM nanti, beliau akan terus bersama-sama berusaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Umno dan BN serta memastikan kemenangan dalam pilihan raya.
Lalu, tiada sebab untuk Muhyiddin berlengah dan bermain dengan masa lagi untuk menyatakan pendiriannya. Lagi pula, jika terus berdiam diri seolah-olah hanya Dr Mahathir saja yang mahukannya sedangkan beliau tidak teruja pun dengan kerusi PM itu.
No comments: