1. Pernah saya buat ramalan dalam penulisan bertarikh Nov 2014 lalu, PM Datuk Seri Najib Razak bakal tumbang akibat dari skandal 1MDB.
2. Dengan serangan yang sangat dahsyat yg dilancarkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam media Facebooknya sehari dua ini dan terkini semalam, telahan saya itu semakin tampak nak menjadi kenyataan. Mahathir secara jelas dan tegasnya mendesak Najib berundur bagi menyelamatkan Umno dan negara.
3. Mahathir yang sudah menjadi mantan PM sejak Oktober 2003, masih ada pengaruh berbisa dalam apa jua singgungannya akan perihal politik negara. Itu hakikat yang sukar ditolak kawan dan lawan.
4. Pertama, Mahathir mahukan siasatan tentang dakwaan Sirul, beliau yang disabitkan bersalah Mahkamah, membunuh wanita mongolia, Altantuya Sharibuu, yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam, adalah dibuat di bawah arahan.
5. Menghimbau, umum juga ingat betapa pelbagai soalan masih tidak terjawab bersabitan C4, Deepak, PI Bala sekaligus menghancurkan integriti kehakiman dan pelbagai agensi termasuk PDRM dan Imigresen di kacamata masyarakat dunia.
6. Mahathir tegaskan rakyat mahu tahu siapa yang mengarah. Sebagai pengawal peribadi Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang beri arahan tersebut. Mahathir menyebutkan amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.
7. Kedua, dalam hal 1MDB Mahathir menegaskan, tuduhan penyelewangan dalam urusniaga berbilion ringgit Jho Low dibuat dengan bukti-bukti yang jelas. Tuduhan ini kata Mahathir, tidak dijawab selain dari berkata ia adalah pembohongan.
8. Mahathir membangkitkan pelbagai persoalan kritikal tentang urusniaga 1MDB termasuk perihal bayaran US$700 juta yang kononya dibayar kepada PetroSaudi dan menuntut bukti kesahihan wujudnya aset syarikat itu sebenarnya sebelum termeterainya perjanjian usahasama atau joint-venture dengan 1MDB.
9. Pendedahan sebuah badan Whistleblower dengan bukti-bukti dokumentasi, dana tersebut sebaliknya dibayar ke sebuah akaun "SwissBank" milik Good Star Limited Low Taek Jho atau Jho Low. Begitu juga halnya dengan urusniaga pengambilalihan 1MDB, melalui anak syarikatnya Javace Sdn Bhd, ke atas sebuah syarikat bekas ketua menteri Sarawak Tun Taib Mahmud, Utama Banking Berhad (UBG). Pembelian melibatkan dana RM1.4 bilion itu menggunakan dana milik 1MDB sebanyak RM850 juta.
10. Juga turut dipertikaikan adalah kekayaan Jho Low serta hubungkaitnya dengan kemewahan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang juga terlibat dalam ratusan juta ringgit urusniaga termasuk penerbitan filem, "Wolf of the Wall Street" dan perolehan pangsapuri-pangsapuri mewah di New York dan Hollywood.
11. Tegasnya Mahathir mendakwa, rakyat, baik Melayu, Cina, India atau suku kaum Sabah dan Sarawak sudah tidak lagi percaya kepada Najib dan Barisan Nasional akan kalah dalam PRU ke14 akan datang. Segala kritikan dan desakan Mahathir kini disambut Tengku Razaleigh dan terkini ketua Pemuda Pergerakan Umno, Khairy Jamaluddin yang mahukan Najib menjawab. KPN atau IGP tidak perlu "jump the gun" atau bertindak terlalu cepat menafikan semua yag didakwa Mahathir.
12. Dengan serangan paling tajam dan ganas ini, maka wibawa dan integriti Najib adalah sangat tercalar. Najib berdepan dengan ujian yang bukan kepalang kali ini.
13. Mungkin Umno belum mahu untuk menukar presidennya, sebab dakwa Mahathir, mereka setia secara "buta tuli" kepada pemimpin. Ahli dan kepimpinan akar umbi tidak dapat membaca "pelan tindakan" Mahathir dan Ku Li kali ini. "Warlords" tentunya Umno sedang sibuk mencatur dan kembali ke "drawing board".
14. Umum tahu, Umno tidak mahu "rock the boat" sehingga kapal Titanic kemegahan mereka berserta nakhoda dan anak-anak kapal seluruhnya akan turut karam bersama. Memang gusar dan risiko kemungkinan kehilangan kuasa pemerintahan tidak dapat dielakkan kalau Najib mahu dipaksa berundur.
15. Apakah kita sedang menyaksikan satu episod terakhir keberentakan sejarah politik Umno yang bakal menghuru-harakan bukan saja parti politik Melayu terbesar di dunia itu, bahkan berpotensi mencetuskan krisis kepimpinan negara sehingga boleh diiktiraf sebagai menjadi satu "Failed Leadership", (Kepimpinan Yang Gagal) sekaligus membahayakan kesejahteraan negara?
16. Apakah tindakan dan tuntutan rakyat, yang berkebetulan juga sedang berdepan pelbagai tekanan hidup akibat tadbir-urus yang sangat culas serta boros, lantas menatijahkan kemelut yang menjejaskan kesejahteraan dan menafikan kedamaian hidup mereka?
17. Apakah masanya sampai untuk rakyat tekan "The Reset Button" untuk negara ini setelah Mahathir dan Ku Li sendiri sudah menekan "The Panic Button" untuk membuat kejutan dan meniup semboyan kepada ahli Umno..bahkan kepada rakyat seluruhnya? Ataukah lebih tepat lagi, masa tiba untuk rakyat merehatkan kerajaan Umno-BN itu dan memberikan mereka cuti panjang untuk mengizinkan kepimpinan parti tersebut membuat satu bedah-siasat dan "overhaul" besar-besaran dan kepimpinan negara diterajui kepimpinan baru?
Sama-sama kita fikirkan!
No comments: