» » 'Kebanyakan barang Naik Harga lepas GST'


Panduan harga Putrajaya bagi 500 barangan biasa selepas cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan menyebabkan ramai pengguna keliru, dengan ada yang mengadu ia tidak mencerminkan realiti.

Mereka mengatakan banyak barangan, terutamanya makanan diproses dan kelengkapan peribadi, ada yang berpandukan kepada panduan harus turun harga, sebaliknya masih berharga lebih tinggi daripada apa yang dinyatakan dalam panduan itu.

Menurut senarai GST terdahulu dikeluarkan Jabatan Kastam, makanan yang diproses dan kelengkapan peribadi akan dikenakan 6% cukai penggunaan apabila pelanggan membayar di kaunter daftar keluar.

Tetapi, menurut panduan harga yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sebahagian daripada item itu, seperti yogurt, susu, lampin dan sabun, sepatutnya turun harga mulai bulan ini.

The Malaysian Insider melakukan tinjauan ke 4 pasar raya besar popular di Lembah Klang pada 4 April bagi menyemak harga 10 barangan terpilih, yang berpandukan kepada panduan itu, sepatutnya lebih murah selepas pelaksanaan GST.

Tinjauan mendapati, di semua pasar raya besar itu, sekurang-kurangnya 5 daripada 10 item masih berharga lebih tinggi daripada apa yang dinyatakan dalam panduan itu. Malah, ada satu kedai, 8 barangan berharga lebih tinggi berbanding dalam panduan ini.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata panduan itu ialah bagi membantu pengguna menentukan sama ada perniagaan mengambil kesempatan daripada GST dengan menaikkan harga dan ia tidak bertujuan menetapkan harga untuk perniagaan.

"Harga dalam panduan itu dirumuskan berdasarkan kajian Kastam dan Kementerian Kewangan. Ia untuk membantu pembeli memutuskan sama ada harga sesuatu barangan munasabah atau tidak.

"Tetapi pengguna boleh membuat aduan kepada kami jika merasakan harga di satu kedai itu terlalu tinggi dan kita akan siasat," kata Hasan kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, panduan itu menyediakan beberapa nombor dan alamat emel bagi rujukan pengguna untuk mereka mengemukakan aduan untuk siasatan.

Barangan GST sepatutnya 'lebih murah'

Antara 500 barangan yang tersenarai dalam panduan itu, 331 sepatutnya lebih murah antara 0.2% dan 3.7%. Sebahagian besarnya makanan segar.

Sebagai perbandingan, 138 item akan lebih mahal antara 1.3% dan 5.8% , manakala harga 29 barangan akan kekal tidak berubah.

Untuk tinjauan ini, The Malaysian Insider memilih 9 jenis barangan biasa selalunya dibeli golongan kelas pekerja yang sepatutnya dikenakan GST.

Panduan harga Putrajaya menyatakan, 9 barangan itu harus turun harga - yogurt, susu segar, sardin, krimer manis, kicap, sabun mandi, lampin, bahan pencuci dan cecair pencuci pinggan.

Kaji selidik itu juga membandingkan harga sepaket beras 10kg, barang yang dikecualikan GST, yang menurut panduan itu harus turun harganya.

Harga di pasar raya disemak berbanding harga dalam panduan itu.

Memandangkan panduan itu memetik beberapa jenama dan pakej barangan yang berbeza, tinjauan kami memilih satu jenama dan pakej yang terdapat di rak dalam semua 4 pasar raya besar itu.

Contohnya, harga 1 beg 80 keping lampin pakai buang bayi jenama Pet Pet bersaiz M dibandingkan di semua pasar raya besar itu yang terletak di Puchong, Shah Alam, Gombak dan Ampang.

Sekiranya pasar raya itu tidak menjual jenama tersebut, satu lagi jenama barangan yang sama dipilih.

Barangan itu ialah: yogurt tanpa lemak Nestle 135g yang menurut panduan berharga RM1.88; susu segar Marigold 1 liter (RM6.73); sabun basuh Top 1kg (RM5.62); cecair pencuci Breeze 2.8kg (RM15.73); kicap manis Jalen 650ml (RM6.02); krimer manis cap Teko 500g (RM2.96); ikan sardin King Cup 425g (RM6.66); sabun mandi May (RM2.86); lampin Pet Pet M80 (RM37.56); pes pencuci pinggan Axion 350g (RM3.85) dan beras Jati SST 5% 10kg (RM25.95).

Panduan itu menyatakan, harga yang digunakannya dicatatkan kementerian berdasarkan harga pada November 2014.

Kesan GST, menurut panduan tersebut, dikira berdasarkan kajian yang dijalankan Jabatan Kastam.

"Harga yang disebut itu boleh berubah mengikut pelbagai faktor seperti permintaan dan bekalan, perubahan bermusim, bencana alam dan kadar pertukaran mata wang asing," kata panduan itu.

Turun harga sedikit, naik harga banyak

Secara keseluruhannya, kajian kami mendapati harga berbeza-beza antara panduan dan apa yang dipamerkan di rak kedai. Harga juga berbeza-beza dari kedai ke kedai.

Di Ampang, 8 jenis barangan berharga lebih mahal daripada panduan, manakala 2 lebih murah. Rantaian pasar raya sama di Puchong mempunyai 6 barangan berharga lebih mahal dan 4 lebih murah.

Di rangkaian pasar raya yang berbeza di Shah Alam dan Gombak, 5 barangan berharga lebih mahal dan 5 lebih murah.

Kaji selidik kami juga mendapati, 1 paket lampin merupakan barangan yang mempunyai perbezaan harga paling besar antara yang dinyatakan dalam panduan dan dipamerkan di rak kedai.

Menurut panduan itu, lampin Pet Pet M80 sepatutnya berharga RM37.56.

Di Ampang dan Puchong, ia dijual pada RM48.55 - lebih mahal RM10.99. Panduan menyatakan harga barangan itu sepatutnya turun sebanyak 2% .

Kedai di Shah Alam pula menjualnya dengan harga di bawah panduan iaitu pada RM33.50.

Barangan seterusnya yang mempunyai perbezaan harga yang paling besar ialah sabun pencuci. Satu botol sabun Breeze 2.8kg penjagaan warna dijual lebih mahal RM7.06 di Ampang dan lebih mahal RM2.26 di Gombak daripada harga panduan iaitu RM15.73.

Barangan ketiga dengan perbezaan harga paling besar ialah susu Marigold, di mana di 2 pasar raya di Ampang dan Puchong, harganya ialah RM7.45, iaitu 72 sen lebih tinggi daripada harga panduan pada RM6.73.

Bagaimanapun, 2 kedai lain menjualnya dengan harga yang lebih rendah daripada panduan iaitu pada RM6.59.

Berpandukan kepada panduan itu, harga bahan pencuci dan susu sepatutnya turun masing-masing sebanyak 1.4% dan 1.1%.

Barangan yang paling biasa didapati dijual dengan harga lebih rendah daripada panduan ialah kicap. Harga menurut panduan bagi sebotol 650ml kicap jenama Jalen ialah RM6.02, tetapi ia hanya dijual pada harga RM4.49 di Shah Alam dan RM5.25 di Ampang.

Tiga kedai juga menjual sabun mandi jenama May pada harga yang lebih rendah, antara RM2.55 dan RM2.82, sedangkan panduan itu menyatakan satu pek tiga ketul sabun itu sepatutnya berharga RM2.90.

Kementerian itu tidak menjawab pertanyaan berhubung perbezaan harga barangan tersebut antara yang dalam buku panduan dan di rak pasar raya.

Pengendali gerai makanan Mohd Azmy, 49, memberi reaksi sinis ketika diminta pandangannya tentang perbezaan harga antara buku panduan dan kedai, terutama bagi barangan yang menurut panduan itu harus turun harga disebabkan GST.

"Harga yang turun, hanya dengan peratusan yang kecil, antara 1 dan 3%.

"Tetapi, harga yang naik, dengan peratusan besar seperti 5%," katanya yang enggan memberikan nama penuhnya.

Pengguna keliru

Seorang lagi pembeli, pengurus operasi Aiman Abdullah, 37, juga tidak terlalu bergantung kepada harga yang dicatatkan di dalam buku panduan itu.

"Harga boleh jatuh lebih rendah daripada dalam panduan itu, tetapi boleh juga jadi lebih mahal, bergantung kepada kedai. Kita kena sentiasa perhatikan jika ada tawaran harga, tidak boleh hanya berharap kepada panduan ini,” katanya.

Katanya, sesetengah orang masih keliru tentang dakwaan yang GST akan membawa kepada harga lebih rendah kerana ia menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10%.

"Jadi, orang fikir, cukai lama 10%, harga barang patutnya lebih murah sebanyak 4%, kerana GST 6%," katanya.

Di bawah SST sebelum ini, hanya barangan dan perkhidmatan tertentu dikenakan cukai. Dalam GST, semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai, kecuali dinyatakan sebaliknya.

Jadi pada hakikatnya, kepercayaan yang harga akan turun sebanyak 4% ialah satu ilusi kerana sebelum GST, majoriti semua barangan dan perkhidmatan pengguna tidak dikenakan SST.

"Oleh itu, sebenarnya ia terpulang kepada pengguna untuk mencari tawaran harga yang terbaik," kata Aiman.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .