» » JASA nafikan kemungkinan berlaku Tsunami Melayu di Malaysia


Seorang anggota panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Noor Adam, menyanggah ramalan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, yang menjangkakan akan wujud "tsunami Melayu" dalam dua pilihan raya kecil (PRK) yang sedang berlangsung ketika ini.

Sebaliknya, beliau menyuarakan rasa kesal dengan tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan "rakan-rakannya", termasuk Zainuddin, yang dilihat bersungguh-sungguh menjatuhkan kerajaan dan memastikan Barisan Nasional (BN) kalah teruk di PRK kawasan Parlimen Rompin dan Permatang Pauh itu.

"Di kala jentera BN berkampung di Pulau Pinang dan Rompin untuk memenangkan BN, Dr Mahathir meneruskan jelajahnya dan memberikan 'peluru' untuk jadi tajuk berita di akhbar seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roketkini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Tegasnya, kenaikan harga barang akibat pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disebut Zainuddin sebagai salah satu punca tsunami, atau penolakan besar-besaran orang Melayu terhadap Umno dan BN itu, akan reda dalam masa enam bulan akan datang.

Pada masa sama, katanya, peluang pekerjaan di dalam negara juga berada pada tahap memuaskan dengan kadar pengangguran sebanyak 2.9% sahaja, yang bersamaan dengan kadar sifar pengangguran.

Beliau percaya Datuk Seri Najib Razak akan muncul lebih kuat jika berjaya mengharungi tempoh mencabar ini.

"Memang ketika ini BN menghadapi kesukaran menjelaskan isu GST disebabkan tahap pemahaman rakyat terhadap kenaikan harga barang agak rendah.

"Namun saya percaya tsunami Melayu seperti disebut Zainuddin ini tidak akan berlaku," katanya.

Pada Ahad, Zainuddin dalam blognya meramalkan Najib bakal terkena serangan "tsunami Melayu" dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika terus mengamalkan dasar menghimpit rakyat.

Menurutnya, prestasi BN di PRK Permatang Pauh dan Rompin bulan depan akan menjadi penanda aras benar atau tidak ramalan itu.

Katanya, Najib berani memperkenalkan dasar mencabar rakyat termasuk GST, pengapungan harga minyak, cubaan melanjutkan usia pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada masa sama, Dr Mahathir pada 25 April lalu juga memulakan jelajahnya ke seluruh negara menjelaskan pendapatnya, yang mutakhir ini semakin kritikal terhadap pentadbiran Najib.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abdul Manan, tidak menolak kemungkinan "tsunami Melayu" yang disebut Zam itu boleh berlaku.

Menurut Amidi, dari segi pelaksanaan GST, orang Melayu tergolong dalam kategori pengguna majoriti dan juga pengguna akhir, yang sebahagian besar tidak dapat menuntut kembali cukai yang dibayar seperti dilakukan sebahagian peniaga.

Pensyarah di Universiti Selangor itu berkata, GST memang memberi kesan kepada mahasiswa yang dipotong pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) mereka bermula Januari tahun ini.

Beban yang sama turut dirasai belia Melayu yang baru berumah tangga untuk memulakan kehidupan mereka.

"Golongan muda ini merasakan pendekatan dibawa kerajaan Umno BN tidak memberikan kebaikan maksima buat mereka.

"Jadi, kemungkinan perkara yang dinyatakan Zainuddin itu ada kebenarannya," katanya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .