Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengakui berlaku kenaikan harga barangan sehingga membebankan penduduk luar bandar, namun katanya, ia bukan disebabkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) lapor Sinar Harian.
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata isu kenaikan harga barang berlaku kerana terdapat sesetengah peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sebelum pengenalan GST pada 6% mulai 1 April.
"Kita akui ada harga barang naik, tetapi kita kena lihat fakta yang jelas. Ia bukan disebabkan GST, tetapi atas sebab peniaga ambil kesempatan menaikkan harga barang lebih awal, sebelum sistem cukai baharu itu dilaksanakan.
"GST bantu tingkat hasil negara dan hasil kutipan itu akan dikembalikan kepada rakyat," beliau dipetik berkata akhbar itu hari ini.
Shafie berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan cukai yang hanya mengurangkan hasil negara kerana tindakan itu tidak bijak dan merugikan.
Pada masa sama, beliau turut mengulas mengenai gesaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu GST dimansuhkan.
Katanya, setiap pemimpin mempunyai pandangan tersendiri dan beliau menghormati pandangan dibangkitkan perdana menteri paling lama berkhidmat itu.
"Yang penting, rakyat kena faham dan membuat penilaian terbaik terhadap langkah kerajaan," katanya.
Dr Mahathir menggesa Putrajaya membatalkan pelaksanaan GST antara faktornya kerana beliau mendakwa, pegawai kerajaan yang melaksanakan sistem cukai baharu itu sendiri tidak memahaminya.
Beliau sebaliknya menyarankan kerajaan hanya menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunapakai sebelum GST.
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir menyatakan pendirian sedemikian.
Sebelum ini beliau memberi gambaran Barisan Nasional (BN) bakal hilang undi jika GST terus dilaksanakan, mengambil kira beban yang terpaksa ditanggung rakyat.
Pelaksanaan GST menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya rakyat bawahan kerana terpaksa berdepan dengan satu sistem cukai yang lebih menyeluruh dan menyaksikan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.
sumber
No comments: