Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diminta menangguhkan pemberian subsidi beras ST15 ekoran pelaksanaan skim tersebut yang didapati tidak sampai kepada golongan sasar, termasuk berlakunya penyelewengan, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, PAC mendapati kementerian tersebut gagal menyelia pemberian subsidi beras ST15 yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah gagal.
Ini katanya turut diakui kementerian tersebut apabila berkata terdapat kelemahan dalam pengurusan dan pemilihan pemberian subsidi dari pengilang, pemborong hingga kepada golongan sasarnya.
“PAC dapati program (pemberian subsidi) ini tidak memuaskan dari segi pengurusan dan timbul persoalan dari segi pemilihan pemborong.
“Dari segi sasaran pula, kumpulan yang disasarkan iaitu rakyat yang termiskin, tidak sampai kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas sesi pendengaran dengan kementerian itu mengenai program subsidi benih padi sah dan pengurusan subsidi beras ST15.
PAC memanggil kementerian tersebut susulan laporan Ketua Audit Negara mengenainya pada 2013.
Jazlan berkata, peruntukan tahunan kerajaan bagi pemberian subsidi beras ST15 itu semakin meningkat naik hingga mencecah RM528 juta.
"Walaupun terdapat peningkatan subsidi, namun ia tidak mencapai golongan sasaran apabila rakyat berpendapatan rendah tidak dapat manfaat daripada beras murah ini."
Katanya, beras subsidi ST15 yang boleh dijual dengan harga murah memandangkan ia campuran beras gred tinggi dan rendah, sepatutnya disalurkan kepada rakyat berpendapatan rendah.
"Tetapi, orang kampung beli beras di kedai runcit, tidak di pasaraya.
"Apa yang berlaku kini, tiada penyeliaan, dan pengilang memberi kepada pemborong, dan ia dihantar kepada pasaraya besar.
"Jadi, semua orang boleh dapatkan beras tersebut, termasuk warga asing dan sebagainya."
Selain itu katanya, pemilihan 4 syarikat yang dilantik juga menimbulkan persoalan kerana syarikat tersebut hanya dapat menyumbang sebanyak 86% keluaran padi daripada sasaran yang diberikan.
Pada masa sama, Jazlan berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang tidak jelas juga menimbulkan banyak masalah terhadap pemberian subsidi beras itu.
"Kita minta mereka buat satu SOP baru dan kajian dibuat mengenai pemberian subsidi, untuk melihat sama ada ia perlu diteruskan atau tidak."
Beliau juga berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Ariff Ab Rahman akan memaklumkan perkara itu dan PAC akan memanggil semula kementerian tersebut.
sumber
No comments: