» » Calon p'raya disyor buat ikrar integriti untuk elakkan rasuah


Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mengesyorkan agar mereka yang menjadi calon pilihan raya membuat ikrar integriti.

Pengerusinya Tan Sri Johan Jaafar berkata ini kerana, budaya berintegriti perlu dicerminkan sebelum seseorang itu menjadi wakil rakyat.

Beliau turut memuji kesediaan ahli Parlimen BN menandatangani ikrar integriti yang dapat mempertingkatkan budaya berintegriti, sekali gus melahirkan persekitaran bebas rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Selaku anggota badan perundangan, langkah itu menggambarkan wakil rakyat daripada BN mengambil pendekatan 'cakap serupa bikin'. PPPR melihat langkah ini satu komitmen yang harus disambut baik oleh semua pihak.

"Pada masa sama, PPPR juga berharap setiap anggota Parlimen akan membuat deklarasi aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya dalam kenyataan semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad kelmarin, mengumumkan ahli Parlimen BN akan menandatangani ikrar integriti bagi mempertingkatkan budaya berintegriti dalam kalangan ahli politik.

Johan berkata soal berintegriti khususnya dalam kalangan wakil rakyat menjadi bahan perbualan masyarakat yang ingin melihat wakil rakyat menjadi contoh dan teladan kepada rakyat.

Justeru, beliau percaya langkah menandatangani ikrar integriti akan menjadi satu lagi lonjakan positif bagi memupuk nilai-nilai murni.

"PPPR juga melihat perkembangan terbaru ini akan melengkapkan tindakan diperlihatkan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah pun menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International Malaysia pada awal 2013 iaitu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13," katanya.

Beliau berkata PPPR yakin langkah menandatangani ikrar integriti akan membawa negara ke era politik baru memandangkan kajian Transparency International Global Corruption Barometer kebelakangan ini, mendapati ahli politik berada di tangga teratas dari segi persepsi negatif dan parti politik adalah satu daripada sektor paling korup.

"Apa yang penting, menjadi harapan PPPR agar kesemua wakil rakyat BN di peringkat negeri dan juga wakil rakyat dari parti lain, akan mengambil langkah yang sama," katanya.

Sementara itu, Johan berkata PPPR menyambut baik pendirian PAS pada 31 Mac lepas, menyatakan komitmen akan menyokong pindaan Perlembagaan Persekutuan, yang perlu bagi membolehkan pembentukan Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai SPRM dan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM secara berperlembagaan, agar menjadi kenyataan.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .