Kerajaan negeri Selangor memulakan prosiding mahkamah terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin dan tujuh lagi bekas pegawai kerana gagal memulangkan wang pampasan berjumlah RM2.6 juta, kata Mohamed Azmin Ali.
Menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Datuk Sulaiman Razak, Menteri Besar Selangor itu berkata hari ini, kes itu masih dalam proses perundangan selepas mereka gagal memulangkan wang pampasan itu sebelum tempohnya tamat pada 19 Januari lalu.
"MBI sedang memulakan prosiding mahkamah, dan mengambil tindakan mahkamah terhadap mereka, sebab mengikut rekod, pembayaran itu bercanggah dengan proses dan tatacara kewangan yang sepatutnya," katanya pada sidang DUN hari ini.
Katanya, MBI melalui peguam sudah memaklumkan kepada mereka yang terlibat supaya memulangkan semula bayaran pampasan yang diterima mereka dahulu berdasarkan tempoh diberikan, namun mereka gagal berbuat demikian.
Selain Faekah, tujuh yang lain ialah Ketua Pegawai Operasi Rohani Talib, Setiausaha Akhbar Arfa'eza Abdul Aziz, Setiausaha Politik Mustafa Talib, Pegawai Penyelaras Rahimah Kamaruddin, Pegawai Komunikasi Khas Dr Sulaiman Masri, Pengurus Penyelidikan Ekonomi Abdul Halim Mohd Yusuf dan Pegawai Akhbar Tuan Nazuri Ismail.
Semuanya dikatakan menerima pampasan bernilai antara RM699,000 hingga RM114,870 yang diluluskan MBI pada hari terakhir Khalid berundur bagi memberi laluan kepada Azmin pada September tahun lalu.
sumber
No comments: