Datuk Ahmad Maslan menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak faham dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas bekas perdana menteri itu mahu sistem cukai baharu dimansuhkan.
Timbalan menteri kewangan itu berkata, Dr Mahathir mungkin tidak menerima penerangan terperinci sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Saya rasa orang di sekelilingnya tidak memberi penerangan lengkap lagi terperinci mengenai GST kepada Dr Mahathir.
"Jelas peratus GST merupakan cukai yang lebih rendah daripada SST sebelum ini. Bagaimana boleh dia (Dr Mahathir) kata lebih baik jika kerajaan membatalkan GST?" kata Ahmad seperti dilaporkan Astro Awani.
Dr Mahathir hari ini mengulangi pendiriannya menggesa Putrajaya membatalkan pelaksanaan GST diperkenalkan 1 April lalu kerana pegawai pegawai kerajaan yang melaksanakan sistem cukai baharu itu sendiri tidak memahaminya.
Beliau sebaliknya menyarankan kerajaan seharusnya hanya menaikkan kadar cukai jualan dan perkhidmatan.
"Saya fikir batal sajalah," katanya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh kira-kira 1000 hadirin di Kelab K, Taman Melawati, Selangor hari ini.
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir menyatakan pendirian sedemikian, sebelum ini beliau memberi gambaran Barisan Nasional (BN) bakal hilang undi jika GST terus dilaksanakan mengambilkira beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
Pelaksanaan GST menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya rakyat bawahan kerana terpaksa berdepan dengan satu sistem cukai yang lebih menyeluruh dan menyaksikan kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.
Bagaimanapun, Ahmad seringkali mempertahankan GST dengan mengatakan harga barangan dan perkhidmatan menjadi lebih murah walaupun realitinya berbeza dengan apa yang didakwanya.
Malah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) baru-baru ini juga mencetuskan kontroversi apabila mengecam Ahmad Maslan dalam sebuah forum yang diadakan di Shah Alam.
Selain itu, Ahmad Maslan sentiasa menjadi bahan ejekan dan cacian orang ramai di dalam media sosial ekoran kenyataannya yang hanya menambah kemarahan orang ramai yang semakin terhimpit kerana harga barang-barang menjadi sangat mahal di Malaysia gara-gara GST.
sumber
No comments: