» » 'Peguam Negara tubuh pasukan petugas siasat 1MDB'


Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan polis sedang menyiasat syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sarat dibebani hutang dengan penubuhan satu pasukan petugas baharu oleh peguam negara.

Ketua polis negara itu berkata, pasukan itu ditubuhkan beberapa hari lepas, melibatkan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

"Kami terlibat sebagai sebahagian daripada pasukan petugas itu. Kami sedang menyiasat laporan yang diterima setakat ini," Khalid memberitahu media hari ini, sambil menambah siasatan ke atas 1MDB bermula sebaik laporan polis dibuat.

Ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB, merupakan antara mereka yang disiasat, Khalid menjawab "ya".

"Setiap laporan yang dibuat, kami akan buka siasatan, di mana terdapat kesalahan, kami akan teruskan dengan siasatan, tetapi di mana tidak didapati sebarang kesalahan, kami akan merujuk kepada peguam negara supaya siasatan ditutup.

"Dalam kes ini, kami bekerjasama dengan SPRM dan Jabatan Peguam Negara, tetapi tiada keputusan dibuat setakat ini."

Beliau berkata, perkara itu sedang disiasat atas dakwaan penipuan dan pecah amanah.

Terdahulu hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata akan hanya memulakan siasatan selepas Jabatan Audit Negara selesai menyemak akaun syarikat itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, mereka perlu menunggu proses itu siap kerana Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) perlu terlebih dahulu mengesahkan wujud kes untuk SPRM siasat.

Dana pelaburan strategik negara itu dilanda kontroversi akibat menanggung hutang yang besar sehingga RM42 bilion, dan diselubungi isu salah urus kewangan.

Minggu lalu, pendedahan laman web Sarawak Report mendorong pemimpin pembangkang, bekas pemimpin Umno dan badan pencegah rasuah menuntut siasatan menyeluruh ke atas 1MDB, dan memberi tekanan kepada Najib selaku menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Rabu lalu, beliau mengarahkan ketua audit negara "menyemak akaun 1MDB secara bebas" dan mengemukakan hasil semakan itu kepada PAC.

"Jika terbukti wujud salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian," kata Najib dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .