» » Mula prosiding terhadap 1MDB selepas tindakan Jabatan Audit Negara


Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC hanya akan memulakan prosiding syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas mendapat Laporan Ketua Audit Negara yang melakukan pengauditan terhadap syarikat berkenaan selaras dengan pengasingan kuasa yang diamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan di negara ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nur Jazlan berkata ia juga bagi memastikan PAC dan Jabatan Audit Negara sentiasa bersifat berkecuali, telus dan berkredibiliti seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

"Rakyat dan pemimpin negara perlu memahami bahawa jawatankuasa berkenaan terletak di bawah Parlimen manakala Jabatan Audit Negara pula di bawah bidang kuasa eksekutif iaitu kerajaan.

"Saya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam dan berbangga kerana pemimpin nombor dua negara mempunyai keyakinan penuh dan tinggi terhadap kredibiliti serta ketelusan jawatankuasa ini," kata Nur Jazlan.

Menurutnya, PAC akan membawa cadangan serta saranan Muhyiddin dalam mesyuaratnya minggu depan.

"Namun, saya perlu tegaskan bahawa PAC memerlukan asas audit terlebih dahulu sebelum memulakan prosiding terhadap 1MDB dan ia datang daripada pengauditan JAN," kata Nur Jazlan.

Mengambil contoh laporan PAC berhubung klia2 Nur Jazlan berkata, walaupun PAC melaksanakan prosiding lapangan terbang berkenaan sebelum Jabatan Audit Negaara menjalankan pengauditan terhadap infrastruktur awam itu, tetapi ternyata segala cadangan dan syor jawatankuasa berkenaan berkaitan klia2 masih belum dilaksanakan kerajaan, kementerian atau agensi kerajaan berkaitan.

Katanya, laporan PAC berhubung klia2 sudah dibentangkan November lalu tetapi hingga ke hari ini, kerajaan masih belum mengarahkan Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan berdasarkan syor dan cadangan laporan jawatankuasa ini.

"Sebab itu, kita perlukan asas audit dan Jabatan Audit Negara perlu diberikan masa melaksanakan pengauditan mengikut aturan audit supaya laporan mereka berkredibiliti, telus, bertanggungjawab dan berkecuali," katanya.

Pada masa sama, Nur Jazlan berkata, adalah penting Lembaga Pengawasan Audit (AOB) di bawah Suruhanjaya Sekuriti (SC) dibabitkan dalam melihat semula pengauditan yang dilaksanakan firma audit dilantik 1MDB.

Nur Jazlan berkata, AOB boleh menilai dan menentukan sama ada pengauditan yang dijalankan firma audit dilantik 1MDB bermula daripada Ernst & Young, KPMG dan Deloitte benar-benar mematuhi garis panduan dan undang-undang yang ditetapkan serta piawaian antarabangsa.

Katanya, walaupun 1MDB bukan sebuah syarikat senaraian awam tetapi AOB boleh memastikan sama ada firma audit yang dilantik mematuhi tatacara dan perlakuan pengauditan serta garis panduan ditetapkan memandangkan firma audit berkenaan turut mengaudit syarikat di Bursa Malaysia.

Menurut Nur Jazlan, kerjasama daripada semua pihak dalam membantu Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan menyeluruh bermula daripada tahun kewangan 2009 hingga sekarang termasuk daripada aspek prestasi operasi dan pelaburan syarikat berkenaan.

"Semua pihak sama ada daripada kerajaan dan pembangkang perlu memberikan yakin dengan Jabatan Audit Negara dan tidak membuat sebarang andaian sebelum laporan PAC mengenai 1MDB dibentangkan di Dewan Rakyat," katanya.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .