Lebih ramai penyokong demonstrasi bantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ditangkap malam ini di luar balai polis Kelana Jaya, di mana mereka berkumpul sebagai tanda solidariti kepada mereka yang ditahan awal hari ini.
Menurut posting yang dibuat di laman Twitter, antara mereka yang ditahan merupakan aktivis pelajar Adam Fistival Wilfrid dan seorang pembantu kepada Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Perhimpunan pada malam ini diadakan bagi menuntut pembebasan 80 orang yang ditangkap ketika mengadakan protes duduk bantah di luar pejabat Wisma Kastam di Kelana Jaya terdahulu hari ini demi membantah GST yang akan dilaksanakan mulai 1 April.
Orang ramai malam ini berkumpul di luar balai polis itu, di bawah pemerhatian anggota 'light strike force' yang lengkap berpakaian topi keledar anti-rusuhan dan perisai.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang berada di tempat kejadian menulis tweet mendakwa, dalam cubaan mengarahkan orang ramai bersurai, polis bertindak menangkap mereka, tanpa memberi sebarang amaran.
Katanya, mereka yang ditahan awal hari ini masih tidak diberikan akses kepada peguam mereka.
Beberapa orang peguam yang turut hadir pada perhimpunan malam ini kelihatan cuba memasuki balai polis untuk berjumpa dengan tahanan.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim adalah antara wakil rakyat DAP yang turut bersama orang ramai di situ.
Keseluruhannya, seramai 83 orang ditangkap hari ini, termasuk 3 orang yang ditangkap di luar balai polis malam ini.
Tangkapan sebelum ini melibatkan 79 orang yang dibuat dilakukan sewaktu pergelutan antara penunjuk perasaan dan polis di dalam pejabat Jabatan Kastam, yang menyaksikan mereka kemudiannya dibawa menaiki trak black maria polis.
Sebelum 79 orang itu, orang pertama ditangkap dari kumpulan Bantah GST itu ialah aktivis Khalid Ismath.
Sekumpulan lebih 100 orang sejak pagi tadi berhimpun di Wisma Kastam itu dalam satu protes “duduk dan bantah” meminta jawapan kepada 106 soalan mereka berhubung GST yang diserahkan dalam satu memorandum kepada pemangku pengarah kastam Kuala Lumpur Abd Gani Othman.
Protes yang dianjurkan Gabungan Bantah GST itu, dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai penggerak utamanya, disertai anggota PAS dan pertubuhan bukan kerajaan belia seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) dan Angkatan Pemuda Bangsa Malaysia.
Polis mengarahkan mereka menghentikan protes itu selepas jam 5 petang apabila waktu pejabat sudah tamat, dan menangkap majoriti penunjuk perasaan yang enggan bersurai.
Antara yang ditangkap terdahulu hari ini ialah setiausaha agung PSM S Arutchelvan, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shahrin, Ahli Parlimen PSM Sungai Siput Jeyakumar Devarah dan pesara guru Annie Ooi, yang juga dikenali sebagai "Aunty Bersih".
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan Bernama berkata, mereka yang terlibat menyerbu masuk ke Kompleks Kastam di Kelana Jaya ketika mengadakan demonstrasi Bantah GST itu boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.
Katanya, polis Selangor sedang meneliti kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
"Ini merupakan satu pencerobohan yang mereka lakukan dan biarlah pihak polis Selangor meneliti dulu kedudukan mereka terbabit," katanya di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur, malam ini.
"Kita tidak boleh biarkan keadaan begini berterusan, saya hairan dengan apa yang mereka nak, kenapa sampai macam itu sekali, seolah-olah hendak menawan Kompleks Kastam itu," katanya.
Mengulas penggunaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kejadian itu, Khalid berkata: "Kalau kita perlu gunakan FRU, kita gunakanlah. Kalau bersebab, untuk kita mengatur kedudukan, dan terpulang pada tindakan Ketua Polis Selangor. Memang saya benarkan bagi memastikan keadaan terkawal."
sumber
No comments: