» » 'Lebih banyak skandal 1MDB akan dibongkar selepas Najib Razak saman saya'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak silap besar jika saman fitnah yang difailkan merupakan langkah menghentikan kritikan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP itu berkata, saman itu sebenarnya lebih menguatkan semangatnya untuk menyiasat dan mendedahkan lebih banyak rasuah, salah guna kuasa dan tidak kompeten 1MDB kerana mengetahui dirinya berada di pihak benar.

"Saya tidak terbelenggu dengan saman itu kerana mengetahui saya disokong jutaan rakyat Malaysia yang terkejut dengan pembohongan 1MDB.

"Seperti saya, mereka mahukan urus tadbir yang baik, ketelusan dan akauntabiliti perdana menteri dan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Pua berkata saman berkenaan muncul ketika 1MDB berdepan krisis besar seperti tidak berupaya membayar hutang RM42 bilion, pendedahan transaksi palsu dan penyelewengan berbilion ringgit dana 1MDB.

"Saya isytiharkan untuk mencabar saman perdana menteri. Pada masa sama, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam yang menawarkan khidmat secara percuma," katanya.

Najib pada Khamis memfailkan saman fitnah terhadap Pua dan pemilik portal online Mediarakyat.net, Chan Chee Kong berhubung isu 1MDB.

Tuntutan itu dipercayai susulan ucapan Pua dalam satu majlis kutipan dana November lalu, di mana ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu didakwa berkata Najib merompak rakyat.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Tetuan Hafarizam Wan Aisha dan Mubarak.

Dalam pernyataan tuntutan saman itu, Najib mendakwa pada 13 November 2014, Pua sebagai seorang penceramah utama pada majlis makan malam Kutipan Dana DAP memberi ucapan berhubung isu 1MDB dan rakaman ucapan itu dimuat naik defendan kedua sendiri dan/atau ejennya di laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat di bawah tajuk "Tony Pua: Najib is Creating the Biggest Scandal Ever in the History of Malaysia".

Perdana menteri mendakwa rakaman itu kemudiannya dikongsi oleh defendan pertama dan/atau ejennya di laman Facebook dan juga defendan kedua dan/atau ejennya di laman Facebook Mediarakyat.

Sehingga 2 Mac sebanyak 194,979 rakaman itu ditonton di laman YouTube Mediarakyat manakala 200,709 pengguna Facebook mengikuti rakaman itu di laman Facebook Pua dan 165,293 lagi pengguna Facebook Mediarakyat mengikuti rakaman itu.

Najib berkata berdasarkan fakta itu, sejumlah besar pengguna Internet menonton rakaman itu dan mendengar perkataan fitnah dinyatakan Pua, lapor Bernama.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .