Kontraktor Hadar Thakrip mungkin membayar kurang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila membeli-belah bulan depan kerana pekerja berumur 51 tahun itu jarang membeli makanan diproses. Namun ini bukan perkara baik baginya.
Sebagai perbandingan, akauntan Aziz Mustapa berkemungkinan akan mempunyai lebih banyak barangan belian boleh dikenakan cukai sekiranya tidak menukar tabiat berbelanjanya bulan depan. Tetapi pekerja 63 itu tidak terlalu risau.
Perbezaan ketara antara mereka ialah tahap pendapatan mereka. Isi rumah Aziz berpendapatan antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan, manakala pendapatan Hadar berbeza setiap bulan dan jarang melebihi RM5,000 sebulan.
Kedua-dua mereka mewakili trend yang muncul dalam pungutan suara The Malaysian Insider terhadap 12 keluarga di Lembah Klang terhadap tabiat perbelanjaan dan sebesar mana kesan kepada mereka apabila cukai 6% GST dilaksanakan bulan depan.
Isi rumah yang berpendapatan tinggi dalam pungutan suara kurang risau tentang GST dan kesannya terhadap mereka. Ini yang akan berlaku walaupun jika tidak mengubah tabiat perbelanjaan selepas April, mereka akan membayar lebih cukai apabila ke pasar raya.
Mereka yang berpendapatan sederhana antara RM5,000 ke RM12,000 sebulan berbelah bahagi. Kebanyakan daripada 5 keluarga yang jatuh dalam kategori ini risau tetapi yakin mereka dapat melaluinya.
Tiga keluarga yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, agak bimbang tentang kesan GST untuk memenuhi keperluan seharian, walaupun tidak akan membayar begitu banyak GST jika membeli barangan dengan cara sama.
Trend ini memperlihatkan beberapa kritikan terhadap sistem cukai baharu itu yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Walaupun GST berskala besar dan akan dikenakan kepada semua, isi rumah yang lebih miskin akan lebih merasakan cukai itu kerana sebahagian besar pendapatan mereka akan digunakan untuk GST.
Cukai lebih adil dan meluas
GST merupakan usaha kerajaan untuk mereformasi sistem cukai dan dilihat lebih adil dan telus kerana mereka yang lebih berbelanja akan membayar lebih.
Pada masa kini dianggarkan hanya 1.7 juta rakyat Malaysia membayar cukai pendapatan daripada tenaga kerja sebesar 12 juta.
Di samping GST, kerajaan dijangka akan mengurangkan cukai pendapatan peribadi sebanyak 1% kepada 3% terhadap semua kategori pendapatan.
Untuk mengurangkan beban keluarga berpendapatan rendah, hampir semua makanan segar tidak akan dikenakan cukai seperti ikan, ayam, daging kambing atau lembu, sayur-sayuran, buah-buahan, herba serta makanan laut.
Beberapa makanan diproses seperti roti, mi segar, susu formula bayi, beras, gula, garam, belacan, teh, kopi dan tepung putih juga dikecualikan daripada GST.
Hampir semua barangan bukan makanan seperti peralatan bilik air – sabun, syampu, bahan pencuci, pencuci pinggan dan penyembur serangga akan dikenakan cukai.
Pelbagai pakaian juga akan dikenakan cukai, termasuk kasut, beg, alat solek dan lain-lain bahan kecantikan.
Hampir semua ubat di farmasi akan dikenakan cukai kecuali beberapa yang kerap digunakan seperti Panadol, Uphamol, ubat julap, Zentel, krim creobic dan beberapa ubat batuk.
Dengan senarai runcit bagi isi rumah yang akan dikenakan cukai, The Malaysian Insider mengkaji 12 keluarga daripada 10 pinggir bandar di dalam dan luar Lembah Klang untuk melihat bagaimana kesan cukai itu terhadap rakyat biasa.
Resit barangan yang mereka beli dibandingkan dengan senarai GST untuk menilai berapa banyak cukai akan dibayar mereka sekiranya tabiat berbelanja mereka sama selepas 1 April.
Trend pembelian paling ketara ialah keluarga berpendapatan tinggi lebih cenderung membeli makanan diproses yang akan dikenakan cukai seperti gula-gula, biskut, nuget ayam, kerepek kentang dan jus buah.
Misalnya, bagi resit daripada 4 keluarga berpendapatan tinggi, menunjukkan daripada jumlah barangan dibeli, 55% hingga 89% merupakan barangan yang dikenakan cukai.
Mereka juga membeli makanan segar, tetapi kadarnya berbanding makanan diproses lebih rendah berbanding keluarga berpendapatan rendah.
Bagi keluarga yang berpendapatan tinggi di dalam kajian ini, makanan diproses dibeli antara 40% ke 48%. Manakala bagi keluarga berpendapatan rendah, makanan diproses merangkumi 35% ke 45% makanan yang dibeli.
Mereka yang berpendapatan rendah masih membeli makanan diproses seperti jem, mentega, mentega kacang, mi segera, kopi dan krimer teh, kicap dan biskut, semuanya dikenakan cukai.
Sementara mereka yang berpendapatan tinggi pula membeli lebih pakaian, bahan bilik air dan barangan rumah seperti tisu tandas dan penyegar udara.
Masa sukar bagi golongan miskin
Apabila disoal sama ada mereka akan mengurangkan belanja ke atas barangan yang dikenakan cukai, ramai di dalam keluarga berpendapatan tinggi percaya mereka masih boleh menyerap peningkatan dalam harga barangan.
"Gaji saya cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga saya. Saya tidak rasa saya akan begitu terkesan dengan GST," kata Surendren Subramaniam apabila ditemui di Taman Samudera, Gombak. Pendapatan ahli perniagaan itu ialah RM25,000 sebulan.
Aziz, akauntan dari Bandar Baru Bangi juga berasa sama, mengatakan dirinya dan isteri mungkin boleh menyerap peningkatan dalam bil beli-belah mereka.
"Selagi kami ada pendapatan, kami tidak rasa akan kesempitan," kata Aziz yang mempunyai 5 anak, 4 daripadanya sudah dewasa dan tinggal di rumah sendiri.
Apabila diberitahu makanan yang dibelinya akan dikenakan cukai, Aziz dan isterinya berkata akan mempertimbangkan masak di rumah berbanding makan di luar, memandangkan semua makanan segar dikecualikan GST.
"Kami banyak makan di luar kerana terlalu leceh memasak di rumah untuk tiga orang sementara kedua-dua kami bekerja. Tetapi dengan GST itu mungkin berubah,” katanya.
Kajian temu ramah mereka yang berpendapatan rendah mendapati kerisauan mula timbul di kalangan responden kerana mereka menceritakan bagaimana rancangan untuk menjimatkan wang.
Manidaj Devaraj, misalnya, membeli pakaian untuk 2 anaknya yang masih bersekolah, dan sebanyak mungkin sabun, ubat gigi dan bahan pencuci yang mampu sebelum barangan tersebut dikenakan cukai.
"Saya tidak dapat jimat dengan pakaian uniform sekolah kerana itu perlu dibeli setiap tahun. Tetapi sekurang-kurang saya dapat jimat dengan pakaian luar sekolah," kata Manidaj dari Batu 9, Cheras.
Keluarga seperti Hadar sedang bersedia untuk masa lebih sukar.
Menurut resit pembeliannya, kira-kira 31% barangan akan dikenakan cukai sekiranya tabiat perbelanjaannya kekal sebegitu selepas April.
Jumlah cukai yang mungkin dibayarnya dalam bil runcit kecil berbanding keluarga berpendapatan sederhana dan tinggi, dijangka akan membayar cukai bagi 55% hingga 89% barangan dibeli.
Walaupun begitu, ini tidak menjadi fakta yang gembira baginya.
"Tiada cara untuk menyimpan wang kerana walaupun kita tidak mahu berjimat, kita masih perlu membeli," kata isteri Hadar, Norasma Sultan, merujuk kepada bahan pencuci pakatan dan sabun yang diperlukan keluarga mereka.
"Saya membayar lebih RM100 malam ini dan hanya dapat 2 beg barangan runcit," kata Hadar.
"Barang sungguh mahal dan saya perlu bayar lebih lagi? Saya cukup kecewa dengan GST,” katanya.
No comments: