» » Gesa Najib Razak dedahkan minit mesyuarat Kabinet dan buktikan tiada dana RM1billion untuk 1MDB


Sebarang tindakan menyuntik dana ke dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Putrajaya boleh dianggap sama dengan cubaan menyelamatkan atau "bailout" syarikat yang dibebani hutang itu, dakwa dua pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata demikian memetik pendedahan akhbar Singapore Business Times yang melaporkan hari ini, Putrajaya menyuntik hampir RM1 bilion kepada syarikat milik Kementerian Kewangan itu baru-baru ini.

Mereka berkata, jika laporan itu benar, ia satu "ejekan" kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan lima hari lalu yang dana awam tidak akan lagi digunakan bagi membantu syarikat pelaburan strategik negara itu.

"Ini turut bermakna 1MDB tidak mempunyai wang membayar kadar faedah hutangnya, jangan cakaplah tentang hutang RM42 bilionnya, faedah pun mereka tidak mampu bayar, dan perlukan bantuan kerajaan," kata Pua pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Memetik sumber, akhbar Singapura itu mendedahkan RM970 juta diberikan kepada 1MDB selepas Kabinet bertemu dua minggu lalu membincangkan cadangan menyuntik wang tunai kepada syarikat itu.

Laporan itu berkata, Putrajaya menetapkan beberapa syarat sebelum dana itu diserahkan.

Seorang jurucakap 1MDB enggan mengulas perkara itu apabila dihubungi akhbar perniagaan berkenaan.

Rafizi berkata, laporan itu selari dengan maklumat yang diterimanya daripada seorang ketua Umno bahagian yang mengatakan keadaan kewangan syarikat itu dibincangkan ketika mesyuarat parti Melayu itu pada Ahad antara Najib dengan kira-kira 160 ketua bahagian.

Pemimpin Umno itu juga berkata, isu berkenaan satu suntikan baharu untuk 1MDB berjumlah RM900 juta turut dibincangkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendedahkan minit mesyuarat Kabinet yang membincangkan isu 1MDB dan suntikan dana itu.

“Beliau juga perlu memberi penjelasan mengenai suntikan RM900 juta yang didakwa dibincangkan ketika mesyuarat Umno (pada 8 Mac) di mana ia dikatakan dipersetujui kerajaan persekutuan," katanya, sambil menambah perkara itu harus dipandang serius kerana melibatkan kepentingan umum.

The Malaysian Insider sebelum ini melaporkan Kabinet ketika itu menolak cadangan suntikan dana bernilai RM3 bilion kepada 1MDB yang diperlukan bagi membayar hutangnya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .