» » DAP buat laporan polis skandal 1MDB


DAP mahu polis menyiasat ketulenan dokumen 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang baru-baru ini dibocorkan pemberi maklumat Sarawak Report, di mana butirannya mendakwa wujud sesuatu yang tidak kena membabitkan kewangan syarikat dana pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Wakil rakyat DAP Tony Pua dan Gobind Singh Deo berkata komunikasi surat-menyurat menerusi e-mel itu adalah benar, ia mendedahkan jenayah serius membabitkan bilion ringgit.

“Dalam laporan saya, secara asasnya saya menjelaskan dokumen emel yang didedahkan Sarawak Report yang menyatakan wujud konspirasi di belakang senario itu, kemungkinan untuk menipu 1MDB sekurang-kurangnya AS$700 juta.

“Ini jenayah serius (membabitkan) jumlah wang yang besar, bilion ringgit, jadi polis perlu menyiasat transaksi khusus itu dengan segera supaya dalangnya dibawa ke muka pengadilan,” kata Pua selepas membuat laporan polis di balai polis Damansara Utama.

Pua merujuk kepada dakwaan Sarawak Report hujung minggu lalu berhubung ahli perniagaan Malaysia Low Taek Jho merancang usaha sama antara 1MDB dengan PetroSaudi International (PeterSaudi) pada 2009, dan dia melarikan AS$700 juta daripada 1MDB.

Memetik transaksi e-mel antara Low dan sekutunya, Sarawak Report berkata ahli perniagaan itu menggunakan PetroSaudi sebagai “orang depan” untuk urusan perniagaannya.

Pua hari ini berkata dia juga menyebut dalam laporkannya aset AS$1.5 bilion PetroSaudi disuntik dalam usaha sama yang tidak wujud itu.

Gobind menggesa peguam negara mengambil perhatian khusus dalam kes itu dan mengarahkan penyiasatan dibuat secara terperinci secepat mungkin.

Katanya, peguam negara dan Jabatan Perdana Menteri perlu maklum Pakatan Rakyat (PR) akan membangkitkan perkara itu dalam perbahasan di sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.

“Perkara ini sudah pasti akan ada susulan di Parlimen, jadi polis perlu bersedia untuk menjawab soalan kami,” kata Gobind, yang juga ahli Parlimen Puchong.

Ini bukan kali pertama laporan polis dibuat terhadap 1MDB; bekas Naib Pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan membuat satu laporan pada awal Disember lalu.

Beliau mendesak satu siasatan “terperinci dan komprehensif” dibuat terhadap 1MDB, dan gesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah dan wakil mana-mana syarikat yang mungkin terbabit dalam skandal itu.

Khairuddin dipecat daripada jawatannya dalam Umno minggu lalu kerana kes muflis, walaupun tidak pernah dipanggil beri penjelasan atau menerima surat tunjuk sebab oleh parti.

Katanya, beliau terima pemecatan itu sebagai harga yang perlu dibayar kerana menegakkan kebenaran dan memerangi rasuah.

Selain Khairuddin, ahli Umno lain turutn mengkritik 1MDB dan antara pengkritik penting termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainudin.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga ahli Parlimen Pulai daripada Umno turut meminta ketua audit negara menjalankan audit terhadap 1MDB sebelum PAC sendiri menjalankan siasatannya.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .