» » 'Beri ruang Jabatan Audit Negara siasat 1MDB'


Orang ramai terutama ahli politik digesa menghentikan kritikan mengenai cara Jabatan Audit Negara ‎melakukan siasatan audit terhadap syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu berkata, ‎ahli politik perlu menghentikan sebarang konflik dan tidak perlu memberikan cadangan dan pandangan mengenai cara atau kaedah jabatan berkenaan melaksanakan audit.‎

“Jabatan Audit Negara perlu diberikan ruang secukupnya bagi melaksanakan audit terhadap 1MDB dan ia perlu dilakukan tanpa sebarang rasa takut atau ada campur tangan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.‎

Katanya, adalah lebih baik supaya semua pihak berkepentingan supaya bersabar dan menunggu kesahihan hasil pengauditan daripada Jabatan Audit Negara.‎

Menurutnya, terlalu banyak andaian dan maklumat yang disebarkan mengenai akaun 1MDB di media sosial, portal berita dan blog.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, penting Jabatan Audit Negara menjalankan audit secara tidak tergesa-gesa bagi memastikan setiap sudut dan ruang lingkup akaun, operasi dan pelaburan 1MDB diaudit dengan teliti.

“PAC juga akan mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik menerima laporan daripada Jabatan Audit Negara sekiranya wujud penyelewengan yang boleh didakwa mengikut undang-undang SPRM,” katanya.

Beliau turut menyambut kenyataan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang mahu menyiasat rekod akaun 1MDB sejak tahun 2009 selepas mendapat arahan kabinet minggu lalu.

Katanya, ‎PAC menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap kewibawaan, keupayaan dan kredibiliti Jabatan Audit Negara di bawah pimpinan Ambrin menyiasat 1MDB secara berkecuali, telus dan bertanggungjawab.

Ambrin pada sidang media di Putrajaya petang tadi berkata, siasatan akan tertumpu kepada rekod akaun 1MDB terdahulu sejak ‎2009 selepas didakwa tidak pernah diaudit.

Syarikat pelaburan dana negara itu didakwa terlibat dalam beberapa pelaburan meragukan, malah audit ke atas urusniaga yang dijalankan firma Deloitte bagi tahun kewangan 2013 tidak termasuk sejak awal penubuhannya pada 2009.

Pihaknya juga akan mengimport pakar daripada luar untuk membantu siasatan dalam kes 1MDB sekiranya diperlukan.

"Kami akan lakukan apa saja diperlukan dalam audit ini walaupun terpaksa membawa pihak luar untuk menyiasat, lagipun kami sudah lakukannya sebelum ini jadi ini perkara biasa," katanya.

Ambrin juga tidak menolak akan memanggil beberapa pihak lain termasuk Sarawak Report bagi membantu siasatan.

Minggu lalu, Sarawak Report mendedahkan mereka memiliki akses kepada beribu-ribu dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi kontroversi 1MDB, termasuk perjanjian meragukan dengan sebuah syarikat minyak yang tidak diketahui ramai, PetroSaudi pada 2009.

1MDB menerima kritikan hebat berpunca daripada beberapa pelaburan kontroversi selain menanggung hutang sebanyak RM42 bilion.

sumber


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .