» » Sirul lantik peguam lawan cubaan ekstradisi beliau ke M'sia


Bekas polis komando Sirul Azhar Umar yang dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu tidak ditahan kerana melanggar undang-undang Imigresen Australia, kata peguamnya Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin.

“Sebenarnya, Sirul tidak lari daripada sebarang undang-undang Australia. Dia hanya ditahan di pusat imigresen susulan notis merah yang dikeluarkan Interpol,” katanya memberi penjelasan berhubung tanggapan anak guamya ditahan kerana visa tamat tempoh.

Kamarul berkata susulan notis merah itu, pihak berkuasa imigresen Australia menahan Sirul sehingga tindakan selanjutnya pihak berkuasa Malaysia.

“Bagaimanapun, Sirul tidak boleh ditahan untuk tempoh yang tidak pasti,” katanya yang bertemu dengan anak guamnya itu di Australia, minggu lalu.

Sirul, yang pernah menjadi pengawal kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, ditahan di Queensland pada 20 Januari dan ditahan di pusat imigresen Villawood di Sydney.

Kamarul berkata Sirul mempunyai visa yang sah ketika dia ditahan tetapi ia dijangka sudah tamat tempoh sekarang.

“Dia perlu memohon visa perlindungan untuk kekal di Australia dan berjuang sebarang pertikaian mahkamah di sana,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata mereka sudah melantik peguam tempatan untuk mewakili Sirul, termasuk menghentikan sebarang cubaan mengekstradisinya ke Malaysia dari Australia.

“Akan ada perkembangan menarik tetapi saya belum boleh mendedahkannya sehingga kita selesaikan beberapa perkara,” katanya.

Australia menandatangani perjanjian ekstradisi dengan Malaysia pada 2006 tetapi mungkin tidak menghantar Sirul pulang kerana dia berdepan hukuman mati mandatori.

Sirul dan Ketua Inspektor Azilah Hadri pada 13 Januari diperintahkan menjalani hukuman yang dijatuhkan kepada mereka pada 2009, atas kesalahan membunuh model berusia 28 tahun itu pada 2006.

Bagaimanapun, Sirul tidak hadir ketika keputusan dibacakan dan berikutan itu, laporan berita mendedahkan dia ke Australia pada penghujung Oktober lalu.

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria memerintahkan kedua-duanya digantung sampai mati, mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013, berhubung tuduhan membunuh Altantuya, yang juga kekasih kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda.

Razak, yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2008 tanpa perlu dipanggil membela diri.

Kerajaan tidak membuat rayuan atas keputusan itu.

Walaupun sabitan dibuat, motif pembunuhan Altantuya masih belum didedahkan.

Bukti dikemukakan di mahkamah mendedahkan Altantuya, yang juga penterjemah Mongolia, dibunuh sebelum tubuhnya diletupkan dengan bahan letupan C4 pada 18 Oktober, 2006, di pinggir Shah Alam, berhampiran ibu kota Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata hal Sirul dirujuk pada Pejabat Peguam Negara untuk penghantaran pulang.

Media Australia melaporkan Sirul tidak akan dihantar balik berikutan Canberra melarang penghantaran pulang suspek yang berdepan hukuman mati, mencetuskan kemungkinan keadaan tarik tali antara kedua-dua negara.

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .