» » Pengkritik lantang 1MDB dipecat daripada jawatan dalam UMNO


Ahli Umno yang dikritik hebat kerana membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hujung tahun lalu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, dipecat daripada jawatannya sebagai naib pengerusi Umno Bahagian Batu Kawan.

Dalam satu kenyataan, Khairuddin mengakui beliau dipecat susulan diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi pada Mei tahun lepas, yang menyebabkan beliau tidak layak memegang sebarang jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak senang dengan cara ia dilakukan memandangkan beliau tidak pernah dipanggil atau diminta menjelaskan keadaan.

Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai pemecatan jawatan itu selepas menerima surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor minggu ini.

"Saya tidak terkejut langsung dengan berita jawatan saya dilucutkan oleh Umno disebabkan kes jaminan korporat saya yang hakikatnya sedang dalam fasa penyelesaian oleh peguam peribadi saya.

"Namun saya amat hairan dengan sikap ibu pejabat Umno yang tidak pernah memanggil saya memberi penjelasan mengenai kedudukan sebenar kes tersebut yang hakikatnya sedang selesai.

"Mengapa mereka tidak pernah dan tidak mahu memanggil saya memberi pencerahan kedudukan masa kini status saya ini?" katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Perlembagaan Umno, Peraturan 8.4 dan 28.9 seseorang yang bankrap akan secara automatik hilang kelayakan memegang atau bertanding apa-apa jawatan dalam parti.

Seksyen 9A(1)(d) Akta Pertubuhan 1966 juga menyatakan seorang yang bankrap yang belum dilepaskan tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana pertubuhan.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir mengesahkan pemecatan jawatan Khairuddin itu.

Beliau berkata Umno Pulau Pinang menerima surat mengenai perkara itu daripada ibu pejabat parti dan menegaskan pemecatan itu dilakukan mengikut peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan.

"Beliau masih ahli Umno dan boleh menghadiri perhimpunan agung Umno tahunan sebagai perwakilan bahagian Batu Kawan," kata Musa.

Khairuddin, yang membuat laporan polis terhadap 1MDB pada awal Disember, berkata beliau menerima tindakan itu sebagai harga yang terpaksa dibayarnya bagi menegakkan kebenaran dan memerangi rasuah.

Beliau juga berikrar tidak akan gentar dengan tekanan politik atau meninggalkan perjuangannya.

Katanya, walaupun tidak menyandang jawatan dalam parti, beliau akan terus bersuara untuk kepentingan orang ramai.

"Insya-Allah saya akan berlepas ke tanah suci Mekah esok (hari ini) tengahari. Apabila saya pulang dari tanah suci Mekah insya-Allah akan saya perjelaskan kedudukan saya dalam Umno secara terperinci, " katanya.

Dalam laporan polisnya, Khairuddin menggesa siasatan "terperinci dan menyeluruh" dilakukan terhadap 1MDB dan menggesa pihak berkuasa menyoal siasat pengarah dan wakil mana-mana syarikat yang mungkin terlibat dalam skandal 1MDB.

Selain Khairuddin, ahli Umno lain juga mengkritik 1MDB, dengan yang paling menonjol ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainudin.

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), diketuai ahli Parlimen Umno Datuk Nur Jazlan Mohamed, juga meminta Ketua Audit Negara menjalankan audit ke atas firma yang bermasalah itu sebelum PAC sendiri menjalankan siasatannya.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .