» » 'Najib Razak sepatutnya arahkan polis siasat motif kenapa Altantuya dibunuh'


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mesti menjelaskan keadaan dan memaksa pihak polis menjalankan siatan penuh dan terbuka terhadap motif di sebalik pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaaribuu kerana kes itu mempunyai kepentingan umum dan antarabangsa, kata DAP.

Ini kerana, menurut Setiausaha Biro Undang-undang Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Mahkamah Persekutuan di dalam penghakimannya tidak menjawab soalan itu.

"Saya berpandangan perdana menteri mesti bertindak menjelaskan keadaan. Seorang perdana menteri yang rasional tidak boleh sombong dalam situasi seperti ini," katanya.

Katanya, Najib perlu menuntut satu jawapan dan beliau bertanggungjawab mengarahkan siasatan penuh dan terbuka bagi mengetahui siapa yang mungkin mengarahkan pembunuhan Altantuya dan mengapa.

Ahli Parlimen Puchong itu berkata, memandangkan mahkamah tidak menjawab soalan-soalan yang berkaitan itu, “teka teki” itu masih terbuka luas dan jika tidak diselesaikan sepenuhnya, akan menyebabkan Malaysia menjadi bahan ketawa di peringkat antarabangsa.

"Dan rakyat Malaysia akan tetap terus meragui cara kes itu ditangani," katanya.

Gobind berkata, Najib juga perlu menjawab cadangan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa Parlimen dianggotai wakil kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk menyiasat kes itu, sekaligus mencerminkan ketelusan kerajaan Malaysia.

Mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengatakan soal motif ialah keputusan kehakiman, bukannya polis, Gobind berkata ia tidak kena pada tempatnya dan menyedihkan.

"Menjadi tanggungjawab polis mendapatkan bukti keterangan dan kemudian, melalui pendakwa raya, mengemukakannya di mahkamah.

"Perlu bawa bukti keterangan terlebih dahulu. Kemudian barulah mahkamah boleh membuat keputusan," katanya.

Gobind berkata, ketua polis negara mesti jelaskan perkara ini dan memastikan sama ada sebarang penyiasatan berasingan dilakukan ke atas motif kes itu dan membawanya kepada Pendakwa Raya.

"Dunia, seperti kita di Malaysia, juga ingin tahu mengapa Altantuya dibunuh. Kenapa dua anggota polis, yang tidak mengenalinya sama sekali mahu membunuhnya?" katanya.

Kenyataan Gobind hari ini dibuat susulan kenyataan Lim semalam yang mengatakan walaupun mahkamah tidak memutuskan mengenai motif Altantuya dibunuh, Khalid wajib mencari jawapan kenapa dua bekas anggota polis elit itu membunuhnya.

Katanya, Khalid perlu menjalankan satu inkuiri menyeluruh bagi menentukan sebab Korporal Sirul Azhar Umar dan bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri membunuh Altantuya pada 2006.

Bagaimanapun, Khalid memberitahu portal Malaysiakini, soal kenapa motif tidak dapat dipastikan seharusnya dijawab oleh mahkamah, bukannya polis.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .