» » 'Najib Razak perlu kosongkan jawatan menteri kewangan serta-merta'


Susulan kegagalan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini nyata dan tidak boleh disembunyikan lagi, PKR hari ini menegaskan Datuk Seri Najib Razak perlu mengosongkan jawatannya sebagai menteri kewangan dengan serta-merta sebagai mengambil tanggungjawab.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan berkata, sehubungan itu, seorang menteri kewangan sepenuh masa boleh mengambil alih tugas beliau itu.

Katanya, beliau akan memfailkan usul dalam sidang Parlimen yang akan datang supaya tiada sebarang suntikan dana baru dibuat ke dalam 1MDB sehingga ada pertanggungjawaban di atas kegagalannya melangsaikan hutang.

Antara lain, ahli Parlimen Pandan itu akan juga menggesa keseluruhan lembaga pengarah 1MDB meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta.

"Setiap ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang meletakkan jawatan tidak dilantik ke mana-mana jawatan di dalam mana-mana anak syarikat atau agensi milik kerajaan untuk mengelakkan mereka dikitar semula," katanya.

Rafizi berkata, usul itu juga akan mencadangkan supaya suntikan dana RM3 bilion ke dalam 1MDB oleh kerajaan perlu dibahaskan dalam satu sidang khas Parlimen.

"Kegagalan 1MDB perlulah terus dibawa ke Parlimen agar ia tidak berulang dan mereka yang bertanggungjawab dikenakan tindakan," katanya.

Minggu lalu, pengurusan 1MDB mengakui ia tidak akan mampu melunaskan tanggungjawab khidmat hutangnya (debt servicing) kerana pendapatan daripada pelaburan yang dibuat setakat ini tidak mencukupi berbanding dengan bayaran faedah dan kupon bon yang perlu dibayar setiap tahun.

1MDB mengakui terpaksa bergantung kepada suntikan dana baru dari kerajaan yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion bagi melunaskan tanggungjawab khidmat hutang itu.

Syarikat milik penuh kerajaan itu juga terpaksa menjual asetnya melalui satu proses rasionalisasi operasi seperti diumumkan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Rafizi pada 2 Februari lalu mendedahkan yang 1MDB juga mempunyai hutang jangka pendek RM3.6 bilion kepada enam bank yang diketuai Deutsche Bank dan perlu membayarnya menjelang September tahun ini.

"Ketika 1MDB mengambil hutang ini di tengah-tengah kontroversinya meletup tahun lalu, ia menyandarkan hutang RM3.6 bilion ini kepada dana baru yang bakal diperoleh daripada pasaran saham melalui penyenaraian anak syarikat pengeluar tenaga bebasnya (IPP)," katanya.

1MDB sebelum ini dilaporkan sudah memperoleh aset Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd berjumlah RM8.5 bilion dan Genting Sanyen (RM2.3 bilion) pada 2012 dan Jimah Energy (RM1.2 bilion) pada 2013.

Rafizi berkata, kini dengan pembatalan penyenaraian tersebut, 1MDB pasti juga berdepan masalah melangsaikan hutang jangka pendek itu.

Sebelum ini, sumber melaporkan 1MDB bukan saja dibantu hartawan T Ananda Krishnan menyelesaikan hutang bank RM2 bilion, tetapi ia juga mungkin memerlukan suntikan wang tunai sebanyak RM3 bilion daripada Kementerian Kewangan.

Mereka berkata, syarikat kontroversi itu menghadapi masalah kewangan kerana pendapatan aset tenaganya tidak cukup bagi melangsaikan hutang dan sudah kehabisan pilihan pinjaman, seperti mengharapkan bantuan daripada seorang ahli perniagaan.

Ananda menyediakan pinjaman RM2 bilion untuk 15 bulan bagi membolehkan 1MDB menyelesaikan pinjaman dengan sebuah konsortium bank tempatan pada 13 Februari.

Sumber mengesahkan perkara tersebut kepada The Edge Financial Daily dan mereka turut melahirkan rasa terkejut apabila Arul menafikan laporan media mengenai pinjaman daripada Ananda, mengatakan ia spekulasi semata-mata.



About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .