» » Kesatuan guru mahu pekeliling lama mengenai rotan dikaji semula


Putrajaya disaran mengkaji semula satu pekeliling Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan pada 1959, berhubung merotan pelajar sekolah, yang kini dianggap ketinggalan zaman dan perlu dipastikan selaras dengan keadaan semasa, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) hari ini.

Setiausaha Agung KPPK Lok Yim Pheng berkata, peraturan itu, di bawah Ordinan Pelajaran 1957, seharusnya lebih jelas dalam menyatakan jenis merotan yang boleh dikategorikan sebagai mendera atau satu kelakuan jenayah.

"(Kementerian) perlu lihat sama ada isu merotan ini perlu ditangani atau dikaji semula. Selain merotan, apa kaedah lain yang kita boleh gunakan, kerana ini kaedah lama," katanya.

Ia berikutan beberapa pandangan yang bercampur-campur mengenai isu itu dari ibu bapa dan pihak yang mengambil berat tentang keberkesanan merotan sebagai cara mendisiplinkan pelajar.

Lok berkata beliau tidak menentang hukuman rotan tetapi mencadangkan, susulan perkembangan terbaru dalam isu rotan, tiba masanya kementerian mengkaji semula perkara itu dan memperbaiki pekeliling itu di mana perlu.

Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini dilaporkan mencadangkan memasukkan peruntukan yang lebih terperinci di bawah Rang Undang-undang Kanak-Kanak berhubung tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau mental terhadap kanak-kanak, termasuk hukuman rotan.

Langkah itu selaras dengan cadangan meminda Akta Kanak-Kanak 2001 dengan menghapuskan Seksyen 91(1)(g) yang membenarkan hukuman rotan dijatuhkan ke atas kanak-kanak yang didapati bersalah.

Lok berkata, KPPK tiada masalah dengan hukuman rotan yang dijalankan terhadap pelajar selagi mana ia dibuat berdasarkan buku garispanduan disiplin sedia ada.

"Selama ini, pendirian KPPK ialah, guru mesti profesional dalam mendisiplinkan pelajar. Merotan ialah salah satu cara mendisiplinkan mereka. Kita tak boleh kata rotan tak boleh digunakan sepanjang masa.

"Biar kita lihat bagaimana kita boleh perbaiki peraturan ini. Kalau guru mahu merotan pelajar, mereka mesti ikut peraturan," katanya, sambil menambah berdasarkan peraturan kementerian, hukuman rotan dibenarkan tetapi mesti dilaksanakan dalam suasana terkawal.

Pada masa sama, beliau berkata, KPPK tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan merotan kanak-kanak boleh dianggap satu jenayah dan boleh mengakibatkan kes penderaan.

Katanya, merotan sepatutnya dijadikan tindakan terakhir yang diambil selepas semua proses konsultasi selesai dijalankan.

Susulan polemik yang timbul di kalangan beberapa pihak mengenai isu rotan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan akan mendapatkan pandangan semua pihak sebelum membuat pindaan tersebut.

Katanya, isu itu masih di peringkat cadangan dan masih belum dibentangkan di Kabinet.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .