» » 'Boikot peniaga Cina kalau mahu harga barang turun di M'sia'


Pengguna Melayu dinasihatkan memboikot perniagaan kaum Cina untuk memberi tekanan supaya harga barang di pasaran jatuh, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dalam posting di akaun Facebooknya berkata, kuasa membeli yang besar berada pada tangan pengguna yang majoritinya kaum Melayu.

"Maaf saya beri pandangan, selain daripada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan) yang patut gunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan untuk ambil tindakan kepada peniaga yang naikkan harga barang tanpa sebab munasabah, kuasa terbesar ada pada pengguna.

"Majoriti pengguna adalah Melayu, Cina adalah minoriti, kalau Melayu boikot perniagaan mereka, tentu mereka tiada pilihan untuk turunkan harga barang," katanya.

Ismail yang juga bekas menteri KPDNKK, semasa dihubungi The Malaysian Insider, mengesahkan kenyataan yang dibuatnya semalam dalam akaun Facebook miliknya itu.

Menjelaskan mengenai kenyataan tersebut, Ismail berkata ia ditujukan kepada peniaga Cina yang masih enggan menurunkan harga barang walaupun harga runcit minyak sudah diturunkan.

"Saya tujukan kepada peniaga-peniaga Cina yang liat untuk turunkan harga barang walaupun minyak turun harga.

"Yang saya tekankan jangan letak semata-mata kepada kerajaan untuk turunkan harga sebab selaku pengguna yang lebih ramai berbanding peniaga, mereka boleh gunakan kuasa mereka untuk tekan peniaga turunkan harga," terang beliau.

Beliau juga di dalam status Facebooknya mempersoalkan sikap pengguna Melayu yang masih makan di kedai milik kaum Cina yang diragui status halalnya walaupun terdapat banyak restoran Melayu yang lain.

"Bayangkan banyak kedai makan Cina yang tiada logo halal dan beberapa kali diserbu serta ditangkap kerana kehalalan meragukan, Melayu masih berpusu-pusu di restoran sedang beribu-ribu restoran Melayu yang sah halal," katanya.

Ismail memberi contoh restoran kopitiam Old Town White Coffee yang didakwanya dimiliki pemimpin DAP.

"Lihat sahaja Old Town White Coffee, diragui baru-baru ini. Tapi masih orang Melayu gagal untuk boikot.

"Lebih-lebih lagi pemiliknya dikatakan Ngeh, keluarga DAP Perak yang terkenal anti-Islam," katanya merujuk Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

"Selagi Melayu tidak berubah, selagi itu Cina ambil kesempatan untuk tindas Melayu," katanya.

Status Ismail Sabri itu mendapat sokongan ramai pengikut dan rakannya di Facebook.

Antaranya, seorang pengguna Facebook, Haris Fadzlah, yang berkata: "Tahniah kepada YB DS Ismail Sabri saya harap ramai lagi menteri berani memberikan statement begini. Hanya kepada Menteri Anak Jantan je yg berani."

Eizwan Abdullah menulis komen: "Menteri Pertanian, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seru Melayu boikot Old Town White Coffee. Tabiklah!"

Seorang yang menamakan dirinya "Apa Sengeh-sengeh" juga mengucapkan tahniah kepada Ismail dan menambah, "Seorang pejuang akan berjuang tanpa rasa takut akan sesuatu... menyatakan kebenaran memang amat pahit... menyedarkan bangsa Melayu ini bukan tugas mudah... teruskan perjuangan Dato Seri dan saya doakan ALLAH akan bersama2 Dato Seri...aamin."

Sementara Mimie Harianie Alias pula berkata: "Kita sebagai pengguna boleh mainkan peranan sama. Betul apa yang dikata DS Ismail Sabri ni. Kita kalau bersatu... Penjual nak tak nak akan Ikut apa yang kita nakkan. Kuasa membeli di tangan kita."

Seorang lagi pengguna dengan nama Rafi Awg Kechik II menulis komen: "Setuju dgn YB DS Ismail Sabri..selagi Melayu tidak berubah maka selagi itulah Cina akn tindas Melayu..."


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .