» » SPRM akan panggil Khairuddin berkaitan isu 1MDB


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi mendapatkan maklumat tambahan berhubung laporannya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, laporan yang dibuat Khairuddin itu disahkan sebagai laporan yang sama dikemukakan kepada pihak polis sebelum ini.

"SPRM akan memanggil Khairuddin untuk mendapatkan maklumat tambahan daripada beliau sebelum membuat keputusan sama ada terdapat asas untuk menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM 2009," kata Shukri dalam satu kenyataan hari ini.

"SPRM memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam isu ini selaras dengan akta itu."

Khairuddin ketika di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya semalam berkata, kritikan terhadapnya kerana membuat laporan terhadap 1MDB akan "memakan diri".

Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu juga berkata mungkin akan meninggalkan parti Melayu itu ekoran serangan balas yang diterimanya kerana membangkitkan isu 1MDB.

"Mereka melakukan semua jenis serangan peribadi terhadap saya, tetapi saya hanya ingin memberitahu yang mereka sangat bodoh.

"Ia memakan diri mereka sendiri sekarang. Orang lain dan rakyat lebih bersimpati terhadap saya pada masa ini," katanya.

Khairuddin menjadi popular kerana membuat laporan polis terhadap 1MDB yang dibebani hutang – dana kekayaan kedua Malaysia selepas Khazanah Nasional Bhd – yang merupakan idea Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

Tuduhan terhadap beliau termasuk menerima sokongan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengkritik hebat Najib dan 1MDB.

Ia menjadi perhatian selepas beberapa pemimpin pembangkang mendedahkan hutang dana yang besar, urusan jual beli tanah yang meragukan dan kerahsiaan ke atas urus niaga 1MDB.

sumber

About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .