» » 'Sesiapa yang terasa dengan kritikan saya itu masalah mereka'



Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tulisan terbarunya dalam blog www.chedet.cc tidak bertujuan untuk menyerang pemimpin negara, Datuk Seri Najib Razak tetapi kenyataan itu dibuat secara umum.

Dr Mahathir berkata, teguran isu budaya politik dinasti dalam Umno ditujukan kepada semua ahli, bukan merujuk kepada pemimpin tertentu.

Katanya, ahli Umno cuma diingatkan kaitan kekeluargaan tidak boleh dijadikan asas pemilihan atau penolakan.

"Saya tidak kata apa-apa berkenaan Datuk Seri Najib. Saya cuma membuat kenyataan umum. Jika sesiapa berasa tersinggung, itu masalah mereka," katanya dalam blognya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menasihatinya supaya menilai kembali apa yang berlaku di sekeliling kerana amalan itu tidak mudah berlaku dalam Umno.

Puad berkata sedemikian dalam responsnya terhadap tulisan Mahathir bertajuk "Politik keluarga", mengingatkan dalam Umno tidak seharusnya ada dinasti dan sesiapa sahaja yang layak dan cintakan parti berhak dilantik ke semua jawatan.

"Dr Mahathir perlu melihat semula apa yang beliau lakukan, jika kenyataan itu dimaksudkan tentang Datuk Seri Najib, nyata beliau silap kerana Perdana Menteri mula menyertai gelanggang politik selepas bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak (Hussein) meninggal dunia.

“Ini berbeza dengan sesetengah pemimpin politik yang lain, malah sekiranya ‘politik dinasti’ itu dimaksudkan sebagai ‘pilih kasih’, mungkin Dr Mahathir lupa bahawa beliau sendiri dipilih sebagai Timbalan Presiden melangkau orang lain (Naib Presiden Umno senior ketika itu),” katanya, dipetik laporan Utusan Malaysia.

Katanya, pelantikan Dr Mahathir sebagai timbalan presiden dahulu juga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan pemimpin kanan Umno.

Dr Mahathir bagaimanapun dalam responsnya berkata, walaupun pemilihannya sebagai Timbalan Perdana Menteri menimbulkan rasa tidak puas hati dan marah tetapi beliau mempertahankan ketika itu tidak ada calon lain untuk mereka undi.

Katanya, begitu juga semasa beliau dipilih menjadi Presiden, walaupun menerima pencabar tetapi beliau tetap menang dengan hanya 43 undi.

"Saya kurang faham kenapa saya salah dengan menyatakan bahawa siapa sahaja yang layak dan cinta Umno berhak dilantik ke semua jawatan serta kaitan kekeluargaan tidak boleh dijadikan asas pemilihan atau penolakan.

"Apakah Umno mahu kaitan kekeluargaan dijadikan sebagai asas pemilihan," soalnya.

Mohd Puad dalam penjelasannya berkata, tidak mungkin budaya politik dinasti dalam Umno mudah berlaku kerana Undang-Undang Tubuh Umno sudah dipinda supaya 146,000 perwakilan ke mesyuarat bahagian layak memilih.

Mengulas mengenainya, Dr Mahathir berkata setiap Bahagian Umno bukan sama besar, ada yang 10 kali ganda lebih besar daripada yang lain.

Manakala yang diambil kira bukan jumlah perwakilan yang mengundi seseorang calon (146,000 ahli) tetapi jumlah bahagian yang mencalon dan melantik.

Sekaligus menjadikan Bahagian lebih berkuasa menentukan kedudukan calon yang bertanding dan bukan lagi perwakilan.

"Jumlah Bahagian sebenarnya kurang daripada jumlah perwakilan ke mesyuarat agung. Pengundi bukan ditambah tetapi dikurangkan.

"Bahagian yang dulu tidak berkuasa, sekarang lebih berkuasa daripada perwakilan," katanya.


About Izikit

«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments:

Leave a Reply

Komen apa saja , cuma anda bertangggungjawab sepenuhnya atas komen anda sendiri .